PREVIEW News Besar Non-Farm Payroll (NFP) Pukul 8.30 Malam Ini!

483

US dolar masih lagi kukuh setakat ini menjelang pengumuman data pekerjaan Amerika Syarikat atau lebih dikenali sebagai NFP (non-farm payroll). Pengukuhan US dolar sejak Khamis banyak disokong oleh komen ahli The Fed iaitu Fed Harker yang masih melihat satu lagi kenaikan kadar faedah tahun ini dan tiga kali kenaikan tahun depan.

Ada tiga data pekerjaan yang akan dikeluarkan pada malam ini iaitu Average hourly earnings (kadar gaji), Non-Farm employment change (perubahan jumlah pekerjaan) dan Unemployment rate (kadar pengangguran).

Berikut merupakan jangkaan pasaran bagi data-data kali ini:

  • Average hourly earnings dijangka meningkat kepada 0.3% berbanding dengan data sebelum ini hanya naik 0.1%
  • Hanya 82,000 pekerjaan dijangka akan bertambah dalam ekonomi untuk bulan lalu berbanding 156,000 yang dicatat pada bulan sebelumnya.
  • Kadar pengangguran dijangka kekal di paras 4.4%.

Jadi, apa agaknya data sebenar malam ini?

Ada beberapa petunjuk yang kita boleh lihat malam ini sebagai gambaran kepada data sebenar ketiga-tiga data pekerjaan malam ini. Antaranya adalah:

ISM manufacturing PMI

Data ini lebih mudah disebut sebagai indeks sektor pembuatan Amerika Syarikat yang mengukur aktiviti ekonomi dalam sektor pembuatan US. Data ini merekod bacaan positif untuk bulan lalu dengan bacaan 60.8 berbanding jangkaan 57.9. Hal ini menunjukkan sektor pembuatan yang terus berkembang positif pada September. Bacaan komponen dalam indeks ini yang perlu diberi perhatian adalah indeks pekerjaan (employment index) yang turut meningkat kepada 60.3 berbanding jangkaan 58.0.

ISM non-manufacturing PMI

Ini adalah indeks sektor perkhidmatan di Amerika Syarikat yang mewakili sejumlah besar aktiviti ekonomi secara keseluruhan di negara ini. Oleh itu, data ini lebih penting berbanding dengan data ISM manufacturing PMI. Data sektor perkhidmatan juga merekod kenaikan positif kepada 59.8 berbanding jangkaan 55.5. Indeks pekerjaan iaitu salah satu daripada komponen yang dikira dalam indeks ISM non-manufacturing PMI turut meningkat kepada 56.8 berbanding jangkaan 56.2.

ADP-NFP

ADP non-farm payroll ialah data yang menunjukkan perubahan tenaga kerja dalam negara US yang hanya melibatkan sektor swasta. Data ini dikeluarkan oleh ADP (Automatic Data Processing, Inc). Manakala data NFP malam ini dikeluarkan sendiri oleh Jabatan Buruh US yang mengira perubahan tenaga kerja dalam sektor kerajaan dan swasta.

Data ADP yang dikeluarkan pada Rabu merekodkan kenaikan 135,000 pekerjaan berbanding sebelum ini 228,000 tetapi melebihi sedikit daripada jangkaan. Walaupun data ini positif, tetapi pasaran menjangkakan hanya kenaikan 82,000 pekerjaan dalam data NFP malam ini berbanding catatan sebelum ini 156,000.

Namun, harus diingat data ADP-NFP untuk bulan-bulan yang lalu juga seringkali menunjukkan bacaan yang tidak sejajar dengan bacaan NFP. Sebab itu, sebagai retail-trader kita tidak boleh terlalu bergantung kepada bacaan-bacaan petunjuk seperti ADP-NFP untuk meramalkan NFP.

Walaupun dengan jangkaan yang positif ini, pasaran tetap akan meneliti bacaan Average Hourly Earnings atau secara mudahnya ‘kadar gaji’ pada Jumaat. Dengan pasaran menjangka kenaikan kadar gaji 0.3%, ia akan memberi kesan negatif kepada US dolar jika data sebenar malam ini meleset daripada jangkaan 0.3%.

Untuk melihat kesan data ini kepada US dolar, kita perlu melihat bagaimana data malam ini boleh memberi kesan kepada polisi monetari The Fed. Dengan jangkaan satu lagi kenaikan kadar faedah tahun ini, data proksi kepada inflasi iaitu Average Hourly Earnings akan menjadi tumpuan pasaran.

Tumpuan The Fed ketika ini adalah data inflasi dengan andaian mereka bahawa pasaran pekerjaan kekal kukuh. Dengan perancangan pengetatan polisi bank pusat di masa akan datang, ahli The Fed perlu melihat tren inflasi di Amerika Syarikat bagi menyokong unjuran yang telah dibuat dalam pengetatan polisi di masa hadapan.

Oleh itu, Average Hourly Earnings akan terus menjadi perhatian pasaran malam ini.

Walaupun dengan tambahan pekerjaan yang positif berbanding jangkaan, namun jika data gaji ini meleset akan menyebabkan satu pergerakan yang tidak menentu kepada US dolar malam ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat