Prospek Panasonic Malaysia Positif

229

Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd (Panasonic Malaysia) menjadi antara kaunter paling untung pada sesi dagangan Bursa Malaysia pagi ini selepas MIDF Research meningkatkan prospek saham itu kepada ‘buy’ dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi iaitu RM35.45 berbanding RM29.19 sebelum ini.

Pada pukul 11 pagi, saham Panasonic Malaysia melonjak sebanyak 38 sen atau 1.27% kepada RM30.38, menjadikan nilai permodalan pasarannya sebanyak RM1.82 juta.

Dalam notanya hari ini, MIDF Research menjangkakan prospek yang positif dan pendapatan Panasonic Malaysia akan pulih seiring dengan pemulihan makroekonomi dan permintaan yang lebih meluas.

Panggilan ‘buy’ itu disokong oleh kunci kira-kira Panasonic Malaysia yang kukuh, yang merangkumi lebihan tunai sebanyak RM620 juta dan hasil dividen yang menarik sebanyak 6%.

MIDF Research kini menjangkakan Panasonic Malaysia akan menjana keuntungan bersih tahunan sebanyak RM126.6 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FY22) dan RM130.9 juta untuk FY23.

Nilai terbabit lebih tinggi berbanding anggaran pendapatan sebanyak RM89.9 juta untuk FY21.

Panasonic Malaysia kembali pulih pada suku kedua berakhir 30 September 2020 (2QFY21) dengan jumlah keuntungan bersih sebanyak RM40.04 juta daripada kerugian bersih yang ditanggung iaitu RM2.56 juta ketika suku sebelumnya berikutan pemulihan jualan domestik dan eksport syarikat terbabit.

Menurut makluman Panasonic Malaysia kepada bursa, pendapatan syarikat itu juga meningkat hampir dua kali ganda kepada RM293.96 juta daripada RM154.08 juta pada 1QFY21.

Panasonic Malaysia merancang untuk memberi tumpuan kepada penjualan kategori produk utamanya seperti kipas, pembersih vakum dan pemancur air panas tahun ini.

Syarikat tersebut berhasrat untuk mengeksport lebih banyak kipas ke Vietnam kerana ekonomi negara berkenaan tidak terkesan daripada pandemik. Langkah itu akan menampung sebarang kerugian yang dialami di pasaran negara lain seperti Thailand.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat