Prospek Positif Bagi Sektor Minyak & Gas Buat Pelabur Teruja

251

MIDF Research meningkatkan saranan terhadap sektor minyak dan gas (O&G) kepada ‘positif’ daripada ‘neutral’ sebelum ini susulan pemulihan permintaan ke atas minyak mentah.

Lapor Bernama, firma penyelidikan berkenaan turut menyemak semula harga sasaran minyak mentah Brent bagi tahun ini kepada AS$59 setong daripada AS$51 setong sebelum ini.

“Berdasarkan perkembangan terkini, kami berpendapat harga minyak mentah akan terus diniagakan dalam jajaran AS$58 hingga AS$65 setong bagi separuh pertama tahun ini.

“Selain itu, bekalan minyak dijangka terus dikawal secara aktif menerusi langkah pengurangan pengeluaran minyak mentah terutama dari Amerika Syarikat (AS) serta Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+),” ujarnya dalam kenyataan mengenai kemas kini sektor berkenaan hari ini.

Tambah MIDF, permintaan terhadap minyak mentah juga akan didorong oleh pengangkutan dan harga produk petrokimia yang lebih baik dan dijangka kukuh dalam separuh kedua tahun ini susulan perkembangan positif membabitkan usaha vaksinasi Covid-19.

“Kami menaikkan saranan sektor tersebut kepada ‘positif’ bagi kedua-dua subsegmen huluan dan hiliran kerana mengunjurkan sektor itu akan mendapat manfaat daripada aliran peningkatan harga minyak membabitkan potensi anugerah kontrak baharu berikutan harga yang lebih menarik.

“Selain itu, terdapat juga kenaikan harga produk bagi penggiat industri hiliran,” ujar MIDF Research.

Firma penyelidikan berkenaan turut yakin dengan trajektori pemulihan O&G Malaysia berikutan Petronas kini dijangka meningkatkan perbelanjaan eksplorasi dan pengeluaran (E&P) pada tahun ini kepada kira-kira RM40 bilion hingga RM45 bilion berbanding RM33 bilion tahun lalu.

Ujar firma itu lagi, mereka memilih syarikat-syarikat dengan asas-asas kukuh, pendapatan berulangan yang stabil, segmen perniagaan yang baik serta hasil yang pelbagai bagi tahun ini.

Ini termasuklah Dialog Group dengan harga sasaran (TP) pada RM4.30, Serba Dinamik Holdings (tiada penarafan) dan Gas Malaysia (TP: RM3.22).

Bagi syarikat yang dijangka menerima kesan dalam pergerakan harga minyak adalah Sapura Energy (TP: RM0.16) dan Malaysia Marine dan Heavy Engineering (TP: RM0.49).

Dari segi dividen, MIDF Research menyarankan Favelle Favco (TP: RM3.00) dan Petronas Gas (TP: RM17.90) atas alasan syarikat-syarikat tersebut tidak hanya mencatat pendapatan berulang yang stabil tetapi turut melakukan pembayaran dividen secara konsisten sejak tiga tahun lalu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat