Pulih Dari Kerugian, Bursa Malaysia ‘Rebound’

185

Bursa Malaysia pulih daripada kerugian yang dicatatkan petang semalam untuk dibuka tinggi pada pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi kukuh semalaman saham Amerika Syarikat (AS).

Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 2.15 mata kepada 1,582.05 daripada penutupan urus niaga Khamis pada paras 1,579.90.

Lapor Bernama, indeks utama itu dibuka 3.37 mata lebih baik pada 1,583.27.

Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 222 berbalas 151 sementara 315 kaunter tidak berubah, 1,473 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 546.33 juta unit bernilai RM254.14 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya, pasaran saham AS melantun tatkala Dow menambah 0.1% selepas data inflasi AS untuk Mei 2021 meningkat 5.0% tahun ke tahun; kenaikan paling tinggi sejak Ogos 2008 dengan Rizab Persekutuan (Fed) melihat kenaikan ini bersifat sementara dan berpendapat tidak perlu untuk mengurangkan rangsangan monetari dalam masa terdekat.

“Meskipun inflasi AS melonjak, Wall Street mengakhiri urus niaga agak tinggi kerana para pelabur melihat kenaikan harga pengguna sebagai kesan sementara sebelum industri dibuka semula selepas sekatan pergerakan.

“Kami menjangkakan sentimen positif di Wall Street, ditambah dengan peningkatan kadar vaksinasi di negara ini dan ini boleh menggerakkan saham tempatan ke paras yang lebih tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, memandangkan harga minyak terus berada melepasi paras AS$72 setong, situasi itu dapat memberi manfaat kepada sektor minyak dan gas.

Firma penyelidikan tersebut menyatakan sektor teknologi mungkin bergerak lebih tinggi berikutan kenaikan semalaman pada indeks Komposit Nasdaq.

“Selain itu, pelabur mungkin mengalihkan fokus mereka ke saham bertemakan pemulihan di tengah-tengah kadar vaksinasi yang semakin meningkat,” jelas firma berkenaan.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank dan HLB masing-masing naik dua sen kepada RM8.20 dan RM18.86, Public Bank dan PetChem kedua-duanya meningkat naik satu sen kepada RM4.21 dan RM8.10, sementara TNB menambah empat sen kepada RM9.97.

Dalam kalangan saham aktif pula, Dagang Nexchange meningkat empat sen kepada 89.5 sen, Vortex naik setengah sen kepada 10.5 sen, sementara Serba Dinamik turun dua sen kepada 62 sen.

Bagi saham mencatatkan keuntungan tertinggi, MPI mengukuh 78 sen kepada RM38.28, Nestle meningkat 40 sen kepada RM135.20 dan Transocean melonjak 26 sen kepada RM4.50.

MCOM adalah antara kaunter yang kerugian, menyusut 19 sen kepada 10 sen, diikuti oleh Widetech, turun 14 sen kepada RM2.82 dan HLIB jatuh 11 sen kepada RM9.80.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 22.10 mata kepada 11,547.22, Indeks FBMT 100 menambah 21.94 mata kepada 11,232.40, dan FBM ACE memperoleh 6.00 mata kepada 7,660.11.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 23.05 mata kepada 12,692.04 dan FBM 70 mengukuh 55.159 mata kepada 14,980.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 27.61 mata kepada 15,298.92, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.12 mata menjadi 192.52, dan Indeks Perladangan naik 7.92 mata kepada 6,771.32.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat