Rakesh Jhunjhunwala : Pelabur Yang Digelarkan ‘Big Bull’ India Dengan Hasil Kekayaan Sebanyak $3.1 Bilion!

9,015

Rakesh Jhunjhunwala dilahirkan pada 5 Julai 1960 di Mumbai, India. Bapanya bekerja sebagai pegawai cukai pendapatan. Ketika zaman kanak-kanaknya, Rakesh sering mencuri dengar perbincangan bapanya tentang pasaran saham bersama rakan-rakannya.

Sehubungan dengan itu, rasa ingin tahu yang mendalam telah muncul dalam benak fikiran Rakesh. Oleh itu, beliau mula bertanya kepada bapanya mengapa harga saham harian adalah tidak menentu. Kemudian, bapanya mencadangkan agar beliau membaca surat khabar kerana terdapat berita yang mempengaruhi harga saham.

Rentetan daripada itu, Rakesh semakin berminat tentang pasaran saham dan ingin meneruskan kerjaya dalam bidang tersebut. Walau bagaimanapun, bapanya mengenakan satu syarat iaitu Rakesh perlu mendapatkan ijazah sarjana mudanya daripada sebuah kolej.

Demi mengejar impiannya, beliau berjaya menamatkan pengajiannya di Sydenham College pada 1985 sebagai seorang akauntan bertauliah.

Setelah itu, Rakesh menyuarakan kepada bapanya berkenaan kerjaya yang diinginkan iaitu menjadi seorang pelabur saham. Hakikatnya, orang tuanya itu tidak menghalang beliau untuk menceburi apa-apa bidang kerjaya. Akan tetapi, bapa Rakesh menegaskan bahawa beliau tidak akan memberikan sebarang wang kepada anaknya itu ataupun mendapatkan wang daripada rakan-rakannya untuk dijadikan modal pelaburan Rakesh.

Namun begitu, ianya tidak mematahkan semangat Rakesh untuk menceburi bidang pelaburan. Berkat kesungguhan dan usahanya, beliau mula melabur dengan modal Rs 5,000 pada tahun yang sama. Beberapa lama kemudian, Rakesh berjaya mendapatkan modal sebanyak Rs 2.5 lakhs daripada salah seorang pelanggan abangnya dan menjanjikan pulangan yang lebih tinggi berbanding deposit tetap.

Setahun kemudian, beliau berjaya memperoleh keuntungan pertamanya sebanyak Rs 0.5 juta! Dengan keuntungannya itu, Rakesh membeli 5,000 saham Tata Teh dengan harga Rs 43. Uniknya, dalam tempoh 3 bulan, saham tersebut telah dijual dengan harga Rs 143. Hasil penjualan tersebut, beliau berjaya mengaut keuntungan sebanyak 3 kali ganda!

Seterusnya, Rakesh mencatatkan keuntungan sebanyak Rs 20 hingga Rs 25 lakhs pada tahun 1986 hingga 1989. Hebat!

Berbekalkan pengalaman yang dimiliki, beliau telah menubuhkan sebuah firma pelaburan yang dikenali sebagai RARE Enterprises, hasil gabungan namanya dan isteri, Rekha. Sepanjang kerjayanya dalam pasaran saham, beliau telah melabur dalam beberapa jenis saham.

Pada tahun 2002 hingga 2003, Rakesh membeli saham di Titan Company Limited pada harga purata Rs 3. Akibat daripada itu, beliau mempunyai kuasa sebanyak 8.45% dalam syarikat berkenaan.

Di samping itu, beberapa portfolio lain yang dimiliki ialah CRISIL, PRAJ IND, Aurobindo Pharma, NCC dan sebagainya.

Kini, jumlah kekayaan yang dimiliki oleh Rakesh dianggarkan sebanyak $3.1 bilion.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat