Rancangan Buka Semula Ekonomi Amerika Syarikat Dalam Persiapan Akhir – Donald Trump

358

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberitahu dalam satu taklimat hariannya bahawa pentadbirannya kini sedang dalam persiapan akhir dalam rancangan untuk membuka semula ekonomi negara itu yang sebelum ini ditutup untuk membendung penularan coronavirus.

Sehubungan itu juga, pentadbiran Trump memberi isyarat 1 Mei merupakan tarikh yang berpotensi untuk memulakan pelonggaran sekatan.

Malah, Trump juga mendakwa bahawa keputusan mengenai pembukaan semula aktiviti ekonomi dan membatalkan perintah duduk di rumah, adalah di bawah kuasa beliau sebagai presiden Amerika Syarikat.

Pada ketika ini, White House mengarahkan supaya rakyat Amerika untuk mengelakkan pergerakan yang tidak penting dan tidak terlibat dalam perhimpunan yang melebihi 10 orang yang berkuatkuasa sehingga 30 April.

Selain itu, Trump turut memberitahu bahawa jumlah kematian di Amerika Syarikat kini mula menunjukkan tanda-tanda semakin berkurangan, sekali gus membuktikan langkah penjarakkan sosial yang dilakukan adalah satu kejayaan.

Sementara itu, gabenor di beberapa buah negeri dilaporkan sedang membincangkan rancangan untuk meneruskan kegiatan ekonomi tanpa mendapatkan maklum balas daripada pentadbiran Trump.

Sembilan buah negeri di pantai Timur dan Barat AS, termasuk New York, California, Oregon dan Washington berkata bahawa mereka telah mula merancang untuk pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur dan mengangkat perintah duduk di rumah.

Gabenor New York, Andrew Cuomo memberitahu bahawa beliau telah berkerjasama dengan New Jersey, Connecticut, Delaware, Pennsylvania dan Rhode Island dalam membuat strategi terbaik untuk mula melonggarkan perintah duduk di rumah yang dikenakan sejak bulan lepas.

New York yang mempunyai jumlah kes tertinggi di Amerika Syarikat telah mencatatkan 195,655 kes dan 10,056 kematian. Ini menjadikan jumlah terkini yang direkodkan di negara itu mencecah 587,173 kes dan 23,644 kematian.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat