Rangsangan Ekonomi Dipertingkat, BOJ Lancar Skim Pinjaman Baru

225

Bank of Japan (BOJ) melancarkan satu program pinjaman baru yang bertujuan untuk menyokong perniagaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat wabak pandemik coronavirus.

Pengumuman itu dibuat ketika mesyuarat polisi kecemasan yang berlangsung hari ini, di mana bank pusat juga memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah pada -0.10% dan sasaran hasil bon kerajaan Jepun (JGB) selama 10 tahun pula tidak berubah pada 0.00%.

Buat masa ini, fokus utama bank pusat beralih kepada usaha untuk mencegah kebankrapan, menyelamatkan pekerjaan dan mengelakkan kemelesetan ekonomi daripada berubah kepada krisis kewangan.

Program baru yang bernilai kira-kira ¥30 trilion itu, tidak akan menawarkan bantuan langsung kepada perniagaan seperti mana Program Pinjaman ‘Main Street’ oleh Federal Reserve AS (Fed). Sebaliknya, ia akan menyalurkan dana kepada syarikat melalui bank komersial dan institusi kewangan lain.

Bagi menggalakkan institusi kewangan untuk memberi pinjaman, mereka akan diberi pinjaman tanpa faedah daripada bank pusat, dan turut menerima faedah sebanyak 0.1% dari BOJ atas pinjaman yang dibuat.

Secara keseluruhannya, jika digabungkan dengan program pinjaman terdahulu dan pembelian bon korporat dan kertas komersial, BOJ menganggarkan jumlah langkah rangsangan ekonomi setakat ini telah mencecah ¥75 trilion.

Program ini dilaporkan akan berkuatkuasa mulai bulan Jun ini dan akan berjalan sehingga bulan Mac tahun 2021.

Berikutan daripada langkah-langkah rangsangan baru oleh BOJ dan sentimen pasaran yang kembali berisiko, safe-haven yen meraih manfaat untuk didagangkan meningkat berbanding matawang utama lain.

Pada mesyuarat polisi sebelum ini yang diadakan pada bulan lepas, bank pusat telah mengumumkan program pembelian bon kerajaan tanpa had, dalam usaha untuk meredakan pasaran kewangan ketika kerajaan melancarkan program bantuan besar-besaran melalui perbelanjaan defisit.

Kebimbangan terhadap kesan ekonomi semakin meningkat berikutan keadaan darurat dan kempen duduk di rumah dilaksanakan sejak 7 April. Data-data terbaru yang diterbitkan minggu ini menunjukkan eksport menjunam lebih 20% dan kejatuhan ekonomi ke dalam kemelesetan yang dijangka akan jatuh lebih mendalam.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat