RBA Kekalkan Kadar Faedah, Pengangguran Australia Dijangka Cecah 10%

180

Reserve Bank of Australia (RBA) seperti dijangkakan telah mengekalkan kadar faedah pada paras terendah 0.25% ketika Australia terus berusaha memerangi impak pandemik coronavirus terhadap ekonomi.

Keputusan itu diambil setelah Biro Statistik Australia menunjukkan hampir 1 juta warga Australia kehilangan pekerjaan antara pertengahan bulan Mac dan pertengahan April dan ini telah mencetuskan kebimbangan bahawa pengangguran boleh meningkat dua kali ganda.

Dalam satu kenyataan susulan, Gabenor RBA Philip Lowe berkata bahawa ekonomi global kini sedang berdepan dengan kemerosotan yang teruk akibat COVID-19.

Ramai orang telah kehilangan pekerjaan dan berlaku peningkatan ketara dalam pengangguran. Pada masa yang sama, tindakan pencegahan telah mengurangkan kadar jangkitan di beberapa negara. Sekiranya ini berlanjutan pemulihan ekonomi global akan bermula akhir tahun ini disokong oleh pakej fiskal yang besar dan pelonggaran dalam dasar monetari.

Di peringkat global, pasaran kewangan berfungsi dengan lebih berkesan berbanding ketika krisis memuncak pada bulan lalu, walaupun keadaan belum normal sepenuhnya. Peningkatan ini mencerminkan hasil daripada penurunan kadar jangkitan dan langkah-langkah besar yang diambil oleh bank pusat dan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa walaupun dalam senario asas bank pusat, pengangguran dijangka akan mencecah sehingga 10%, manakala produktiviti pula akan menurun pada jumlah yang sama.

Sebelum ini, Bendahari Persekutuan Josh Frydenberg mengatakan bahawa Australia telah kehilangan kira-kira $4 bilion setiap minggu berikutan kemerosotan dalam penyertaan tenaga kerja, produktiviti dan penggunaan disebabkan sekatan yang dilaksanakan di negara itu.

Tambah Gabenor Lowe lagi, disebabkan terdapat banyak ketidakpastian dalam prospek ini, ahli mesyuarat telah mengambil kira pelbagai senario ketika dalam mesyuarat tersebut. Dalam senario asas, output boleh menurun kira-kira 10% pada separuh pertama 2020 dan 6% sepanjang tahun secara keseluruhan. Ini diikuti oleh pemulihan 6% pada tahun depan.

Tuntasnya, bank pusat telah memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah sehingga ia mencapai sasaran pekerjaan penuh dan inflasi. Selain itu, RBA juga menyatakan semula sasaran 0.25% untuk hasil bon kerajaan 3 tahun.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat