Pasaran saham di AS sekali lagi menghadapi situasi yang tidak menentu apabila para pelabur masih bimbang perang dagangan di antara AS-China yang boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi dunia.
Hanya selepas sehari keadaan pasaran AS mula menunjukkan kenaikan, para pelabur mula rasa tidak selamat mengenai perang dagangan yang berlaku. Mereka bertindak untuk menarik balik pelaburan mereka di pasaran ekuiti dan memilih sukuk kerajaan dan emas sebagai pelaburan yang lebih selamat.
Permulaan bagi indeks utama di AS tampak suram apabila masing-masing menunjukkan penurunan namun di akhir sesi dagangan, indeks S&P 500 dan Nasdaq berjaya menunjukkan kenaikan berbanding Dow Jones.
Dow Jones turun 22.45 mata kepada 26,007.07 mata, S&P 500 naik 2.21 mata kepada 2,883.98 mata dan Nasdaq naik 29.56 mata kepada 7,862.23 mata.
Pulangan bagi 10 tahun sukuk kerajaan AS turun 1.595%, iaitu yang terendah sejak tahun 2016 namun dilaporkan kembali meningkat kepada 1.7122% sejak semalam.
Emas juga diniagakan tinggi meskipun dalam situasi tidak menentu sekarang. Harga emas ditutup pada nilai $1,507.30, iaitu naik 2.4%. Untuk tahun ini sahaja, sebanyak 18% peningkatan dicatatkan untuk harga emas.
Menurut penganalisis pasaran, jika pemotongan kadar faedah masih diteruskan oleh Rizab persekutuan AS, harga emas boleh melonjak melebihi $1,650.