Red Monday! Ekuiti Bergerak Baik Namun Belum Cukup Cemerlang

86

Pasaran ekuiti global memperlihatkan penutupan tinggi di Eropah pada Jumaat lepas namun masih jauh untuk menembus keluar dari zon bearish.

Mencerap situasi ketika penutupan lepas, indeks STOXX 600 Eropah berakhir tinggi pada 1.3% dengan saham pembinaan canak 2.4% dan saham media raih 2.3%.

Sungguhpun begitu, indeks cip biru Eropah akhiri dagangan bulan September dengan penurunan 7.8% iaitu prestasi terburuknya sejak Jun dan merosot 6% secara keseluruhan pada suku ke-3 tahun ini.

Situasi sama juga dirasai Wall Street apabila indeks-indeks utama menutup tirai suku ke-3 pada nota negatif apabila data perbelanjaan peribadi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh, mengembalikan kebimbangan kenaikan kadar.

Indeks Dow Jones Industrial turun 1.71% pada 28,725.51, Nasdaq Composite jatuh 1.51% pada 10,575.62 dan S&P 500 susut 1.51% pada 3,585.62.

Pada asas bulanan pula Dow Jones merosot sebanyak 8.8% sementara S&P 500 menjunam 9.3% dan Nasdaq menurun 10.5%.

Saham Asia Pasifik turut berundur pada Jumaat ekoran kejatuhan semalaman pada ekuiti China walaupun data perkilangan negara ‘Tembok Besar’ itu difahamkan berkembang pada bulan Ogos.

Ulas penganalisis pasaran bahawa keadaan ekuiti dijangka terus bergerak di bawah tekanan lebih-lebih lagi selepas kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed).

Dalam pada itu, pembukaan sesi daganan Asia pagi ini memperlihatkan Nikkei 225 Jepun jatuh 1.07% sementara Topix hilang 1% dan S&P/ASX 200 Australia susut 0.65%.

Secara keseluruhan indeks meluas MSCI Asia Pasifik luar Jepun turun 0.32%.

Antara tumpuan sepanjang minggu yang dijangka memberi kesan kepada pergerakan ekuiti adalah data PMI pembuatan dan perkhidmatan tinjauan ISM, data pembukaan pekerjaan serta data ADP dan NFP AS.

Selain itu, mesyuarat OPEC dan beberapa ucapan oleh pegawai Fed turut dijangka sedikit sebanyak mempengaruhi pergerakan ekuiti.

Sementara itu, pergerakan komoditi minyak menyaksikan niaga hadapan Brent naik 3.3% pada $87.97 sementara niaga hadapan minyak mentah AS lonjak 3.21% pada $82.04.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat