Ringgit Melonjak Sejak Sidang Media Trump, BNM Terus Lindungi Ringgit

72

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) akan mempertimbangkan untuk menggunakan lebih banyak langkah-langkah untuk menstabilkan Ringgit jika diperlukan, seperti yang telah dilakukan sebelum ini bagi mengurangkan spekulasi.

Bloomberg melaporkan bahawa Muhammad Ibrahim (Gabenor BNM) akan mencari cara untuk memperbaiki kecairan dalam pasaran kewangan Malaysia.

Tambahnya lagi, segala langkah baru ini akan digunakan hanya apabila diperlukan. Walaubagaimanapun, langkah baru ini bukanlah kawalan modal (capital control), tidak melibatkan penetapan nilai Ringgit, tetapi hanya untuk menstabilkan nilai matawang ini.

Sebelum ini nilai Ringgit telah menguat berbanding US dolar sejak tujuh sesi dagangan yang lepas sehingga membawa Ringgit kepada RM4.43 berbanding matawang greenback ini. Walaubagaimanapun, terdapat pergerakan yang besar dalam tukaran USD/RINGGIT sebentar tadi yang membawa nilai terkini kepada RM4.4621.

Sejak sidang media Trump pada Rabu, matawang Asia Tenggara kebanyakannya menguat berbanding US dolar dengan kebimbangan kepada campurtangan politik oleh Rusia. Tidak dinafikan juga komen Trump pada masa itu yang langsung tidak menyokong US dolar menyebabkan penguatan matawang global berbanding US dolar.

Gabenor BNM mengatakan, “Kita akan pastikan sesiapa yang memerlukan US dolar akan mendapat akses kepada US dolar dan begitu juga kepada sesiapa yang memerlukan Ringgit. Hal ini adalah untuk memastikan kecairan pasaran sentiasa ada di dalam pasaran.”

Sebelum ini, Malaysia sebagai ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara menjadi salah satu emerging market (negara pesat membangun) yang mengalami kejatuhan dalam pasaran aset khususnya bon dan Ringgit.

Pelabur-pelabur melihat kemenangan Trump memberi kesan positif kepada pasaran ekuiti khasnya dan menyebabkan mereka membawa keluar dana pelaburan mereka dari negara-negara emerging market ini. Sejak itu Ringgit kehilangan nilai sebanyak 5.3% berbanding US dolar.

Muhammad Ibrahim mengatakan, “Langkah terbaru dari BNM ini akan mengambil masa sehingga enam bulan untuk menunjukkan hasilnya dan terdapat kesan awal positif yang menunjukkan Ringgit telah stabil.”

Gabenor menegaskan, kestabilan Ringgit banyak bergantung kepada permintaan dan penawaran dan apa yang paling penting adalah permintaan dan penawaran sebenar yang tidak mengambilkira faktor lain seperti spekulasi di luar negara.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat