Ringgit Rekod Keuntungan Tertinggi Pada Selasa Dengan Kenaikan Hampir 350 Pip Berbanding US Dolar

95

Ringgit meneruskan pengukuhan sejak minggu lepas dan ditutup tinggi berbanding US dolar selepas kenaikan mendadak hampir 350 pip dalam sesi dagangan Selasa. Pengukuhan Ringgit ketika ini banyak disokong oleh prestasi cemerlang pasaran ekuiti Asia berikutan kelegaan terhadap pilihanraya Perancis pada Ahad.

Ketika ini Ringgit berbanding US dolar (Usd/Myr) berada di sekitar 4.3653 di mana paras penutup Isnin di sekitar 4.4005.

Sejak beberapa minggu lepas pasaran diselubungi dengan sentimen yang tidak menentu dalam geopolitik antarabangsa dan semakin memuncak pada Ahad dengan berlangsungnya pilihanraya pusingan pertama Perancis. Pasaran Eropah sedikit lega dengan calon Emmanuel Macron terus mendahului tinjauan pendapat berbanding Le Pen.

Walaubagaimanapun, dengan terpilihnya Le Pen ke pusingan kedua masih memberi kebimbangan kepada pasaran di mana seperti yang kita tahu pendirian beliau yang anti-EU. Le Pen juga mahu mengeluarkan Perancis dari Kesatuan Eropah.

Perkembangan terbaru di Eropah telah menyebabkan pelabur-pelabur mengalihkan perhatian mereka kepada pasaran pesat membangun (emerging market) seperti Malaysia yang memberi kesan positif kepada Ringgit.

Permintaan terhadap bon kerajaan Malaysia juga meningkat disebabkan sentimen semasa di Eropah yang masih berhadapan dengan ketidaktentuan walaupun pasaran secara keseluruhan sedikit lega berbanding minggu lepas.

Selain itu, terdapat juga tanda-tanda kemasukan pelaburan yang semakin meningkat ke dalam Bursa Malaysia. Tidak lupa juga sumbangan peningkatan pendapatan negara berikutan kenaikan harga minyak mentah global yang terus menyokong Ringgit.

Untuk rekod, Malaysia adalah pasaran kedua Asia Tenggara yang paling banyak menerima kemasukan modal di belakang Indonesia menurut Morgan Stanley Singapura.

 

 

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat