Ringgit Susut 1.5% Berbanding Dolar AS Pada Suku Kedua 2019

228

Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2019 yang kukuh pada 4.9%. Bagaimanapun, mata wang tempatan mengalami penyusutan 1.5% dipengaruhi oleh ketidaktentuan pasaran global dan domestik.

Menurut laporan kewangan daripada Bank Negara Malaysia (BNM), sentimen pelabur berhati-hati dalam situasi perang perdagangan dan kelemahan pertumbuhan ekonomi dunia telah menjejaskan pasaran kewangan domestik.

Ketidaktentuan ekonomi dunia yang berterusan menyebabkan pelabur tidak lagi berminat terhadap pasaran kewangan serantau, termasuk Malaysia. Berikutan daripada keadaan tersebut, aliran keluar portfolio bukan pemastautin mencatat RM5.1 bilion sekali gus membawa kepada penyusutan ringgit sebanyak 1.5% berbanding dolar AS.

Secara keseluruhan, ringgit telah menyusut 1.3% berbanding dolar AS sejak awal tahun hingga hari ini selari dengan perkembangan kebanyakan mata wang serantau manakala penurunan sebanyak 1.2% telah direkodkan dari 1 Julai hingga 15 Ogos, menurut laporan BNM.

Sementara itu, pencapaian pasaran bon dan ekuiti tempatan dibantu oleh permintaan berterusan daripada institusi pelabur tempatan.

Pada penghujung suku kedua, prestasi pasaran semakin baik disebabkan pemulihan dalam sentimen pelabur disebabkan jangkaan terhadap kelonggaran polisi kewangan oleh bank-bank pusat yang menarik aliran masuk portfolio bukan pemastautin.

Terdahulu, pertumbuhan KDNK suku kedua 2019 kukuh pada 4.9% dipacu oleh peningkatan dalam pelaburan swasta dan perbelanjaan isi rumah. Peningkatan ini dilihat lebih tinggi daripada yang dijangkakan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat