Risiko Perdagangan & Politik Amerika Syarikat Terus Membenam US Dolar Minggu Lalu (22 -26 Januari)

571

US dolar mencatat kejatuhan keenam berturut-turut pada minggu lalu (22-26 Jan) walaupun kerajaan Amerika Syarikat telah dibuka semula sepenuhnya pada Selasa. Namun apa yang membuatkan kejatuhan US dolar selepas itu adalah komen Steven Mnuchin, isu halangan perdagangan oleh AS dan risiko politik Presiden Trump.

Robert Mueller pada minggu lalu dilaporkan mahu menyoal Presiden Trump tentang pemecatan bekas pengarah FBI James Comey dan Peguam Negara Jeff Sessions. Perkembangan terkini siasatan oleh Robert Mueller menjadi risiko terbaru kepada Presiden Trump.

Komen menteri kewangan AS iaitu Steven Mnuchin, “US dolar yang lemah adalah baik kepada kami,” dalam perhimpunan World Economic Forum di Davos, Switzerland. Sememangnya komen seperti ini beberapa kali telah menyebabkan kejatuhan US dolar sebelum ini. Tahun lalu juga ada beberapa komen oleh Trump dan Mnuchin yang lebih suka kepada greenback yang lemah, sekaligus menyebabkan kejatuhan US dolar ketika itu.

Pada Rabu lepas, Presiden Trump secara rasmi meletakkan taarif terhadap panel solar dan mesin basuh. Apabila ditanya tentang perkara ini kepada menteri perdagangan AS di Davos, beliau mengatakan akan ada lebih banyak tindakan terhadap dagangan yang dirasakan tidak adil kepada Amerika Syarikat.

Sememangnya tindakan terbaru oleh AS ini adalah satu bentuk ‘protectionism’ oleh Trump yang tidak disukai oleh kebanyakan negara di dunia. Sama seperti tahun lalu, apabila kerajaan Amerika Syarikat bertindak cenderung kepada ‘protectionism‘ (terlalu menjaga ekonomi), ia sekaligus menyebkan kejatuhan US dolar.

Dengan risiko-risiko ini, pasaran biasanya akan beralih kepada matawang safe-haven Yen, Swissy dan emas. Dengan kelemahan US dolar sepanjang minggu lalu, jelas dilihat pengukuhan ketiga-tiga instrumen selamat ini yang sering mendapat permintaan tinggi semasa ketidaktentuan pasaran.

US dolar mendapat sedikit pengukuhan pada lewat dagangan Khamis lalu, apabila Trump menyangkal komen Steve Mnuchin. Trump menginginkan pengukuhan US dolar dan memberi penegasan bahawa US dolar akan terus mengukuh dibawah pimpinan beliau.

Namun, US dolar pada Jumaat terus menunjukkan tanda-tanda kelemahan dengan data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang kurang daripada jangkaan.

Sebelum kita meneruskan kepada ulasan kalendar ekonomi sepanjang minggu lalu kita lihat dahulu julat pergerakan pasangan matawang utama dunia pada minggu lalu dan minggu sebelum itu untuk melihat perbezaan antara kedua-dua tempoh ini.

15 – 19 Januari 22 – 26 Januari
Eur/Usd- sideway 158 pip Eur/Usd – naik 324 pip
Usd/Jpy– volatile 129 pip Usd/Jpy – jatuh 295 pip
Gbp/Usd– naik 222 pip Gbp/Usd – naik 488 pip
Usd/Chf- volatile 149 pip Usd/Chf – jatuh 352 pip
Usd/Cad– naik 108 pip Usd/Cad – jatuh 215 pip
Aud/Usd– naik 137 pip Aud/Usd – naik 179 pip
Nzd/Usd– sideway 96 pip Nzd/Usd – volatile 170 pip

 

Tanpa membuang masa lagi, mari kita lihat ulasan keseluruhan data-data dan event ekonomi sepanjang minggu lalu.

  • Mesyuarat bank pusat Jepun, BoJ (Selasa)

Sesetengah pelabur yang melihat BoJ kurang pesimis terhadap inflasi di masa hadapan. Jika dilihat secara keseluruhan BoJ kekal neutral dengan tiada sebarang komen yang lebih hawkish. Bank pusat mengatakan risiko terhadap harga masih lagi cenderung ke bawah walaupun bank pusat mengubah penilaian terhadap ‘jangkaan inflasi’ daripada ‘lemah’ kepada ‘mendatar’.

  • Data PMI Zon-Eropah (Rabu)

Aktivti ekonomi Zon Eropah merekodkan pengukuhan pada awal 2018 dengan jumlah pekerjaan meningkat ke paras tertinggi sejak tahun 2000. Markit yang mengeluarkan data PMI melaporkan Flash Euro Zone Composite Output Index yang mengira indeks kedua-dua sektor pembuatan dan perkhidmatan naik kepada 58.1 pada Disember ke paras tertinggi 12-tahun lalu melebihi jangkaan 57.9.

  • Data pekerjaan UK (Rabu)

Jumlah pekerja di Britain meningkat lebih daripada jangkaan dalam tempoh tiga bulan sehingga November dan kadar upah juga meningkat pada kadar tertinggi sejak hampir setahun yang lalu. Jumlah pekerjaan meningkat sebanyak 102,000 dalam tempoh tiga bulan hingga November dan membawa jumlah keseluruhan pekerjaan kini berjumlah 32.2 juta. Jangkaan pasaran untuk data tersebut hanya 13,000.

Kadar gaji termasuk bonus tidak berubah daripada bacaan 2.5% sebelum ini yang merupakan kadar tertinggi sejak Disember 2016.

Data yang dikeluarkan pada Rabu juga menunjukkan kadar pengangguran kekal pada paras terendah 4.3% seperti yang dijangkakan oleh pasaran. Manakala jumlah yang menuntut insurans pengangguran (claimant counts) meningkat sebanyak 8,600 lebih daripada jangkaan 5,400.

  • Data inflasi New Zealand (Khamis)

Indeks harga pengguna (CPI) begitu mengecewakan dengan peningkatan sebanyak 0.1% bagi suku tahun terakhir 2017. Penganalisis menjangkakan kadar inflasi akan meningkat sebanyak 0.4% jauh lebih tinggi daripada bacaan sebenar 0.1%.

  • Penetapan polisi monetari ECB (Khamis)

ECB seperti yang dijangka mengekalkan polisi monetarinya seperti yang telah diumumkan pada Khamis termasuk jangkaan terhadap program pembelian bon (APP). Mario Draghi secara keseluruhan dalam sidang media meletakkan semua tindakan ECB masih terbuka termasuk program pembelian bon, di mana beliau meragui kenaikan kadar faedah ECB tahun ini.

  • Data jualan runcit Kanada (Khamis)

Jualan runcit di Kanada meningkat kurang daripada jangkaan pada November di mana kenaikan harga gasolin dan barangan elektronik ditekan oleh kemerosotan jualan kenderaan baru. Jualan runcit hanya naik 0.2% berbanding jangkaan pasaran 0.7%. Namun, apabila dilihat kepada bacaan teras (Core retail sales), bacaan meningkat 1.6% lebih daripada jangkaan 0.8%.

  • Data pertumbuhan ekonomi UK (Jumaat)

Ekonomi Britain meningkat lebih tinggi daripada jangkaan pada suku keempat tahun 2017 seperti yang ditunjukkan dalam data yang dikeluarkan pada Jumaat. Pertumbuhan ekonomi naik 0.5% berbanding jangkaan pasaran 0.4%. Bacaan kali ini adalah yang tertinggi sepanjang tahun 2017 yang juga melebihi bacaan pada suku ketiga.

  • Data inflasi Kanada (Jumaat)

Inflasi tahunan Kanada jatuh seperti yang dijangka tetapi melebihi daripada jangkaan pasaran pada Disember. Kejatuhan ini disebabkan oleh penyusutan harga gasolin seperti yang ditunjukkan pada Jumaat. Inflasi tahunan merosot kepada 1.9% daripada 2.1% sebelum ini. Harga makanan meningkat 2% dengan pengguna-pengguna membayar harga lebih tinggi untuk makanan.

  • Data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (Jumaat)

Pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat kurang daripada jangkaan pada suku keempat walaupun perbelanjaan pengguna merekodkan bacaan tertinggi dalam tempoh tiga tahun lalu sekaligus mendorong peningkatan import. Keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat 2.6% secara tahunan seperti yang dilaporkan pada Jumaat. Ekonomi sebelum ini pada suku ketiga meningkat sebanyak 3.2% di mana jangkaan untuk kali ini adalah lebih tinggi daripada bacaan sebenar iaitu 3.0%.

  • Data tempahan durable-goods Amerika Syarikat (Jumaat)

Tempahan durable-goods (barangan tahan-lama) meningkat 2.9% bulan lalu selepas mencatat kenaikan 1.7% pada November. Manakala bacaan core durable-goods yang tidak mengambil kira tempahan pengangkutan juga naik melebihi jangkaan pasaran.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat