Risiko Virus Meningkat, Pergerakan ‘Gila’ Pasaran Cemaskan Pelabur!

1,495

Sentimen negatif pasaran terus memberi tekanan matawang USD diniagakan menghampiri paras terendah 4 tahun berbanding safe-haven yen walaupun dengan bacaan data NFP AS yang memberangsangkan.

Laporan pekerjaan NFP yang dikeluarkan pada Jumaat menunjukkan bacaan pada bulan Februari meningkat sebanyak 273,000 iaitu jauh lebih baik daripada jangkaan pasaran dan tidak berubah daripada catatan sebelum ini.

Pasangan matawang USD/JPY telah mencatat penurunan hampir 400 pips sejak penutupan dagangan Jumaat lalu sehingga mencecah paras 101.62 dan kemudiannya diniagakan di bawah paras 102.00 pada pembukaan sesi Asia.

Wabak coronavirus terus menjadi kebimbangan kepada seluruh dunia, dengan beberapa negeri di Amerika Syarikat mula mengisytiharkan darurat. Jumlah kes setakat ini dilaporkan telah mencecah 110,047 manakala angka kematian pula sebanyak 3,828.

Pasangan bagi matawang AUD/USD dan NZD/USD pula menjunam lebih 300 pips, dicetuskan oleh panik pasaran pada awal sesi Asia mungkin disebabkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap impak coronavirus kepada ekonomi global.

Penanda aras hasil perbendaharaan AS 10 tahun dan 30 tahun terus mencatat kemerosotan di mana masing-masing buat kali pertama dalam sejarah, direkodkan di bawah paras 0.5% dan 1.0%.

Dolar Kanada jatuh ke paras terendah sejak Januari 2019 berbanding USD yang didorong oleh kejatuhan harga minyak selepas Rusia enggan bersetuju untuk pemotongan pengeluaran minyak mentah seperti yang dicadangkan oleh OPEC dengan tambahan 1.5 juta tong sehari.

Matawang euro terus meraih manfaat daripada kelemahan US dolar untuk didagangkan di paras ketinggian sejak Jun 2019. Mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB) pada Khamis minggu ini akan menjadi tumpuan utama kepada pelabur.

Selain itu, matawang pound juga diniagakan meningkat berbanding USD disokong oleh kekurangan kemungkinan bahawa Bank of England (BoE) akan menurunkan kadar faedahnya pada 26 Mac ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat