Robinhood Batal Pelancaran Aplikasi Pelaburannya Di UK!

362

Robinhood yang merupakan sebuah firma teknologi kewangan (fintech) yang berpusat di Menlo Park, California memutuskan untuk membatalkan pelancaran aplikasi pelaburan sahamnya yang terkenal di UK serta-merta.

Menurut sebuah kenyataan, Robinhood terpaksa membuat sebuah keputusan yang sukar untuk memfokuskan kepada usaha memperkukuh perniagaan mereka di Amerika Syarikat.

Pada November yang lalu, syarikat tersebut telah membuka senarai menunggu buat para pelanggannya di Britain setelah memperoleh kelulusan sebagai broker daripada Financial Conduct Authority.

Melalui perluasan sayapnya di UK, Robinhood dapat bersaing dengan broker atas talian yang lain seperti Hargreaves Lansdown begitu juga pesaing fintech, Revolut dan Freetrade.

Berikutan dengan pembatalan itu, syarikat berkenaan akan menutup laman sesawang rasminya di UK dan memadam kesemua emel pelanggan daripada sistem mereka bagi melindung privasi pengguna. Selain itu, mereka juga akan memindahkan seramai 10 kakitangan yang berkhidmat di UK ke Amerika Syarikat manakal yang lain bakal diberhentikan.

Untuk pengetahuan semua, Robinhood mula memperoleh populariti apabila berjaya melahirkan ramai pelabur di Amerika Syarikat. Di samping itu, syarikat berkenaan turut membangun dengan pesat, mereka mencatatkan seramai 1 juta pengguna pada 2016 dan kini memiliki lebih 13 juta pengguna!

Benarlah kata pepatah bahawa air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Robinhood berada dalam fasa kemerosotan apabila berlakunya penularan wabak coronavirus yang mengakibatkan kejatuhan aktiviti pelaburan.

Tambahan daripada itu, syarikat tersebut didakwa terpalit dengan kontroversi apabila salah seorang pelabur muda yang berusia 20 tahun telah dilaporkan membunuh diri setelah mengalami kerugian sebanyak $730,000 ketika menggunakan aplikasi pelaburannya.

Oleh yang demikian, Robinhood cuba untuk membersihkan namanya dengan memberikan sumbangan sebanyak $250,000 kepada salah sebuah badan kebajikan Amerika Syarikat, yang dikhususkan untuk Suicide Prevention.

Anda mungkin juga berminat