Rubberex Tawar 10% Saham Terbitan

228

Rubberex Corporation (M) Bhd bercadang melaksanakan tawaran saham persendiriannya untuk mengumpul kira-kira RM78 juta bagi pembangunan kilang pengeluaran sarung tangan pakai buang nitril di Perak.

Pengeluar sarung tangan getah itu berkata, cadangan itu akan melibatkan terbitan sehingga 83.23 juta saham baharu, yang mewakili kira-kira 10% saham terbitan sedia ada pada harga terbitan yang akan ditentukan kemudian.

“Sebagai contoh, dengan andaian penempatan saham ini diterbitkan pada harga terbitan sebanyak 94.5 sen sesaham, tawaran saham pensendirian ini akan mengumpulkan hasil kasar kira-kira RM78.65 juta,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Bernama melaporkan, daripada jumlah hasil berkenaan, lebih kurang RM69 juta akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada pengambilalihan, pemasangan dan pentauliahan 28 barisan pengeluaran baharu.

Tambah kenyataan itu, kira-kira RM9 juta daripada hasil akan dipakai sebagai keperluan modal kerja operasi harian dan baki RM520,000 lagi akan digunakan untuk anggaran perbelanjaan, seperti yuran yang perlu dibayar kepada pihak berkuasa yang berkaitan termasuk yuran perundingan dan penempatan.

Pada 22 Januari lalu, Rubberex menyelesaikan pengambilalihan dua petak tanah pegangan pajak seluas 4.82 hektar di Lahat, Perak untuk pembinaan kilang pengeluaran sarung tangan pakai buang nitril ketiganya, yang akan menempatkan sehingga 28 barisan pengeluaran ‘double-formers’.

Walaupun pembinaan kilang baharu ini masih belum dimulakan, syarikat berhasrat untuk mentauliahkan kesemua barisan pengeluarannya secara berperingkat dalam tempoh 24 bulan akan datang, dengan 14 barisan pertama dijangka ditauliahkan menjelang separuh pertama 2022 dan baki 14 lagi menjelang separuh kedua 2022.

Kilang baharu itu dijangka akan meningkatkan kapasiti pengeluaran sarung tangan kumpulan dengan tambahan 7.5 bilion hingga 10.0 bilion keping setiap tahun berbanding kapasiti semasa sebanyak 2.5 bilion keping setahun.

“Lembaga pengarah optimis bahawa pertumbuhan perniagaan keseluruhan kumpulan akan kekal kukuh berikutan prospek positif bagi industri sarung tangan,” katanya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat