Rugi Forex Punca Keuntungan Bersih Suku Ke-3 TM Susut 2.2%!

1,925

‘Sebenarnya okay je pendapatan TM, tapi…’

Telekom Malaysia Bhd (TM) menggariskan kerugian pertukaran asing atas peminjaman dan kadar cukai tinggi di bawah Cukai Makmur sebagai penjejas utama keuntungan syarikat pada laporan pendapatan korporat suku ke-3 (Q3).

Menurut pemfailan, keuntungan bersih TM turun 2.2% pada RM265.20 juta berbanding RM271.21 juta bagi tempoh sama tahun lepas sementara hasil catat lonjakan 13% pada RM3.16 bilion dari RM2.80 bilion.

Bagi tempoh 9 bulan pertama 2022 pula keuntungan bersih syarikat dilaporkan canak 21% pada RM983.11 juta dari RM815.27 juta semasa tempoh sama tahun lalu tatkala hasil raih 9.1% pada RM9.14 bilion berbanding RM8.37 bilion.

Mengulas mengenai prestasi syarikat adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Imri Mokthar bahawa segmen perniagaan teras seperti jalur lebar termasuk penyelesaian perusahaan dan perniagaan borong membantu lonjakan.

Jelasnya bahawa setiap segmen tersebut merupakan pendorong kepada lonjakan hasil syarikat dan dijangka terus menerajui perniagaan TM untuk baki 2022.

Dalam pada itu, Imri turut menyentuh rancangan masa depan syarikat untuk meneruskan pelaburan dalam bidang teknologi bertumpu mudah alih tetap (FMC) dan penyelesaian digital.

Selain itu, TM rancang membina kapasiti dan bakat digital untuk berkembang bersama pelanggan di sebalik prospek mencabar yang menanti pada 2023.

Setakat penulisan ini saham TM diniagakan positif 0.73% pada RM5.49 dengan permodalan pasaran pada RM20.98 bilion.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat