Rundingan Dagang AS-China Positif, Yen Kecundang Untuk Permulaan Dagangan Julai

542

Permulaan pasaran untuk dagangan Julai positif dengan tumpuan pelabur terarah kepada persidangan kemuncak G-20 pada penghujung minggu lalu. Tumpuan utama adalah terhadap perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang sebelum ini semakin tegang dan membimbangkan pasaran.

Matawang dolar Amerika Syarikat diniagakan pulih setelah Amerika Syarikat dan China bersetuju pada Sabtu lalu untuk memulakan semula rundingan dagang Selepas Presiden AS Donald Trump menawarkan konsesi termasuk tiada tarif baru dikenakan.

Selain itu, kebimbangan pelabur juga turut reda apabila Amerika Syarikat telah menarik semula sekatan kerjasama syarikat-syarikat Amerika dengan syarikat teknologi Huawei dari China dalam usaha untuk mengurangkan lagi ketegangan bersama Beijing.

Pasaran saham niaga hadapan Amerika Syarikat juga kembali melonjak lebih 1% selepas keputusan positif daripada pertemuan Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping di Osaka Jepun itu.

Dengan berita yang melegakan pelabur ini, sebaliknya yang berlaku terhadap dagangan safe-haven Yen. Yen ketara mencatatkan penurunan berbanding matawang utama yang lain dan meninggalkan jarak perbezaan harga (gap) pada carta harga bagi pembukaan pasaran minggu ini.

Sentimen pasaran yang kembali pulih membuatkan pelabur tertarik untuk beralih ke arah aset yang berisiko dan berpulangan tinggi sebaliknya dagangan Yen akan kembali lemah semula.

Pound Sterling masih lagi didagangkan berisiko dalam pasaran semasa walaupun berjaya mencatatkan kenaikan dari paras terendah 5 bulan yang dicapai berbanding dolar USD dan Euro pada Jumaat lalu.

Situasi no-deal Brexit terus memberikan kegelisahan terhadap pelabur dan membuatkan pelabur berwaspada terhadap posisi dagangan GBP sementara menunggu pengesahan jawatan pemimpin yang baru di Britain menggantikan Theresa May yang telah meletakkan jawatannya.

Tumpuan pelabur untuk dagangan GBP hari ini terarah kepada data PMI perkilangan UK yang akan dikeluarkan pada jam 4.30 petang ini.

Perkembangan pada pasaran komoditi pula, harga minyak mentah meningkat setelah laporan OPEC dan sekutunya bakal melanjutkan pengurangan bekalan minyak sekurang-kurangnya sehingga penghujung 2019 di mana Iraq turut melibatkan diri bersama Arab Saudi dan Rusia dalam menyokong dasar tindakan tersebut.

Laporan tersebut memberi kelebihan terhadap dagangan dolar Kanada (CAD) untuk mengukuh di mana minyak mentah merupakan ekport terbesar di Kanada.

Dan pada minggu ini juga, pada penghujung minggu pasaran akan memberi fokus terhadap laporan data pekerjaan Kanada dan juga Amerika Syarikat.

Pasaran menjangkakan laporan pekerjaan NFP AS akan memberikan angka bacaan yang meningkat terutamanya pada kadar pertambahan pekerjaan dan juga purata pendapatan per jam di Amerika Syarikat. Kadar pengangguran dijangka akan kekal seperti bacaan bulan sebelumnya.

Pantau juga data-data penting yang menghiasi pasaran sepanjang minggu ini untuk membantu ada merancang strategi dagangan yang lebih tersusun.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat