Pasaran saham global akhirnya menunjukkan tanda-tanda kenaikan selepas mencatat kerugian 3 hari berturut-turut sementara harga minyak berundur dari puncak minggu lalu ekoran kesediaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk meningkatkan bekalan minyaknya.
Selain itu, pihak Moscow menuduh Amerika Syarikat (AS) memulakan perang ekonomi dengannya dan bersedia untuk memberi respon kepada sekatan yang dikenakan terhadap import minyak serta tenaga Rusia.
Di samping itu, konflik perang menunjukkan tanda-tanda keredaan apabila Menteri Luar Rusia, Sergi Lavrov akan mengadakan rundingan diplomatik dengan Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba di Turki.
Pasaran Saham Dalam Pemulihan
Indeks MSCI ekuiti dunia yang menjejaki saham di 50 negara lain naik 2.91%.
Di Wall Street, indeks purata Dow Jones Industrial naik 778.14 mata atau 2.38% pada 33,410.78, S&P 500 capai 123.57 mata atau 2.96% pada 4,294.27 dan Nasdaq Composite tambah 493.33 mata atau 3.86% pada 13,288.89.
STOXX 600 Eropah canak 4.68%.
Dalam pada itu, ahli ekonomi menjangkakan kenaikan kadar akan ditangguhkan sehingga akhir tahun menjelang mesyuarat Bank Pusat Eropah (ECB) pada Khamis ekoran terdapat ancaman stagflation yang menyebabkan harga naik tetapi pertumbuhan yang lembab.
Euro naik 1.61% pada $1.1074 ekoran laporan Kesatuan Eropah (EU) yang membincangkan penerbitan bon bagi membiayai perbelanjaan tenaga dan pertahanan manakala indeks dolar jatuh 1.18%.
Hasil bon kerajaan Jerman naik dan hasil perbendaharaan 10 tahun AS yang berada pada 1.925% ekoran laporan pekerjaan AS jatuh 185,00 pada 11.263 juta pada bulan Januari.
Keputusan OPEC Beri Kesan Kepada Harga Minyak
Harga minyak jatuh 17% selepas ahli OPEC UAE mengumumkan sokongan bagi peningkatan bekalan ke pasaran yang terganggu akibat sekatan terhadap Rusia.
Ekoran daripada itu, penanda aras minyak antarabangsa bagi minyak mentah Brent ditutup rendah 13.16% pada $111.14 setong manakala minyak mentah AS ditutup turun 12.13% pada AS$108.70 setong.
Menurut ketua ekonomi antarabangsa Commonwealth Bank of Australia, Joseph Capurso berkata terdapat pergerakan besar dalam pasaran dengan ekuiti masih lemah dan minyak masih kuat.
Tambahnya, punca pergerakan besar tersebut adalah tanda-tanda Ukraine mungkin menerima tuntutan Rusia sebagai pertukaran jaminan keselamatan, seterusnya membolehkan pelabur memfokuskan pada data inflasi dan pergerakan bank-bank pusat.
Sementara itu, Bitcoin lonjak 9% pada $42,260 selepas Presiden AS, Joe Biden tandatangan mandat eksekutif yang memerlukan agensi kerajaan menilai manfaat dan risiko mewujudkan dolar digital bank pusat.