Saham Global Bergelora, Data Inflasi AS Memuncak Lepasi Ramalan

1,183

Indeks-indeks ekuiti Amerika Syarikat (AS) berada dalam pergolakan sebelum ditutup rendah apabila pelabur mencerna kesan data inflasi AS terhadap pelaksanan kenaikan kadar oleh Federal Reserve (Fed).

Data Indeks Harga Pengguna (CPI) tahunan bagi bulan April mencatat 8.3% berbanding Mac pada 8.5%, sungguh pun ia melepasi anggaran pada 8.1%.

Pakar strategi portfolio kanan Ingalls & Snyder, Tim Ghriskey meringkaskan bahawa angka inflasi yang terpapar merupakan satu berita buruk yang menambah kepada kebimbangan kemelesetan.

Tambahnya, keluk hasil yang mendatar telah memberi petanda kurang menyenangkan kerana ia merujuk kepada perbezaan antara hasil Perbendaharaan jangka panjang dan jangka pendek yang mendorong kepada prospek kemelesetan.

Pasaran Wall Street menyaksikan indeks purata Dow Jones Industrial jatuh 326.63 mata atau 1.02% pada 31,834.11, S&P 500 hilang 65.87 mata atau 1.65% pada 3,935.18 dan Nasdaq Composite turun 373.44 mata atau 3.18% pada 11,364.24.

Tolok MSCI saham seluruh dunia susut 0.88% iaitu paras terendah sejak November 2020.

Menurut ketua strategi The Leuthold Group, Kim Paulsen, sungguh pun inflasi masih tinggi secara umumnya, namun ia mula kelihatan sedang menyederhana.

Terangnya, ia boleh menambah sedikit keterujaan kerana bacaan inflasi tahun ke tahun dilihat sudah mula bertukar arah.

Ringkasan mata wang memperlihatkan indeks dolar berada pada 0.067% dengan Euro turun 0.13% pada $1.0513.

Yen pula mengukuh 0.35% berbanding dolar pada 129.97 per dolar sementara Sterling turun 0.62% pada $1.2245.

Dalam pada itu, penanda aras hasil Perbendaharaan 10 tahun jatuh ke paras terendah seminggu namun selepas data inflasi dikeluarkan, hasil mula naik ke paras tertinggi 3 tahun sebanyak 3.203% sebelum jatuh semula.

Nota penanda aras 10 tahun naik 20/32 dalam harga kepada hasil pada 2.9148% daripada 2.993, manakala bon 30 tahun naik 57/32 dalam harga kepada hasil pada 3.026% daripada 3.129% dan nota 2 tahun jatuh 1/32 dalam harga kepada hasil pada 2.6371% daripada 2.623%.

Sementara itu, spot emas menambah 0.8% pada $1,852.79 per auns.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat