Saham Mana Jadi Tumpuan Di Bursa Pada Awal Minggu?

314

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, mengambil petunjuk daripada kerancakan urus niaga semalaman pasaran Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.03 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.30 mata kepada 1,509.44 berbanding 1,509.14 ketika ditutup pada petang Jumaat.

Bernama melaporkan, indeks utama dibuka 1.12 mata lebih tinggi kepada 1,510.26.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran pula menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi 280 berbalas 77 manakala 229 kaunter tidak berubah, 1,515 tidak diniagakan dan 21 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 237.50 juta unit bernilai RM117.99 juta.

Rakuten Trade dalam notanya berkata kerancakan di Wall Street berlaku apabila ramai pelabur membeli saham teknologi yang menjuruskan kepada kenaikan di bursa berkenaan.

Sehubungan itu, saham teknologi tempatan turut mendapat tempias, menambah 1.4 peratus atau 0.77 mata kepada 54.76.

Sementara itu, Dow Jones ditutup melepasi paras 27,000 sementara Nasdaq agak jauh daripada paras 11,000 dan S&P 500 pada paras 3,300.

“Pasaran serantau minggu ini seharusnya menyaksikan trend menaik, sekali lagi mengambil petunjuk daripada pasaran AS. Pasaran tempatan kita mungkin lebih menjurus kepada kegiatan belian susulan membabitkan kaunter berkaitan sarung tangan dan penjagaan kesihatan seperti vaksin, kerana jumlah kes COVID-19 kian meningkat di dalam negara dan dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes pula berpendapat: “Kita dapat melihat perdagangan pasaran yang lebih baik. Tetapi sentimen hari ini akan banyak bergantung kepada bagaimana penyongsang bertindak balas kepada data keuntungan China yang lebih baik yang diumumkan pada hujung minggu dengan kemunculan semula pandemik seluruh dunia,” kata beliau kepada Bernama.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM7.11, Top Glove mengukuh tujuh sen kepada RM8.87, TNB menambah empat sen kepada RM10.92, sementara Public Bank tidak berubah pada RM15.44.

Saham-saham cergas pula, empat saham teknologi paling aktif iaitu IRIS naik dua sen kepada 27.5 sen, Key Alliance meningkat setengah sen kepada 8.5 sen, INIX Technologies menokok tiga sen kepada 33 sen sementara Advance Synergy turun dua sen pada 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 4.46 mata kepada 10,845.27 dan Indeks FBM Emas Shariah mengembang 9.21 mata kepada 12,971.63.

Indeks FBM 70 pula meningkat 12.59 mata kepada 14,062.88, Indeks FBMT 100 naik 3.97 mata kepada 10,672.48 dan FBM ACE 2.29 mata lebih tinggi kepada 10,029.51.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 34.37 mata kepada 12,361.99, Indeks Perladangan menambah 3.4 mata kepada 7,058.52 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.61 mata kepada 135.40.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat