Saham Pengeluar Sarung Tangan Getah Raih Peningkatan Di Bursa Malaysia

0 446

Susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun, pengeluar sarung tangan getah berjaya meraih pasaran teratas di Bursa Malaysia pada hari ini.

Top Glove berjaya berada di tempat teratas pada tengah hari dengan saham melonjak 69 sen (9.44%) kepada RM8. Diikuti oleh Kossan Rubber Industries Bhd yang berjaya meraih 40 sen (6.84%) kepada RM6.25.

Comfort Gloves Bhd dan Supermax Corp Bhd masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat dengan peningkatan 37 sen (21.14%) kepada RM2.12 dan 27 sen (9.06%) kepada RM3.25.

Jumlah keseluruhan membawa kepada 72.2 juta saham telah diperdagangkan di pasaran.

Sejak wabak virus Covid-19 mula menular ke seluruh dunia, saham pembuatan sarung tangan telah menjadi perhatian pelabur dan ini membuatkan Top Glove, Kossan, Comfort dan Supermax berjaya memperolehi peningkatan 71.83%, 50.24%, 167.09% dan 135.51% tahun ini.

Peningkatan saham yang mendadak ini berikutan daripada kebimbangan pelabur terhadap gelombang kedua jangkitan Covid-19 di bandar Wuhan, China setelah muncul kes kluster baru pertama semalam sejak perintah kawalan pergerakan dimansuhkan.

Menurut laporan, lima kes muncul di kawasan perumahan yang sama, menimbulkan kebimbangan dalam usaha mengurangkan sekatan seluruh China ketika kerajaan sudah mula membenarkan operasi perniagaan dan membenarkan masyarakat kembali bekerja.

Secara tidak langsung, wabak gelombang kedua dilihat sebagai satu ancaman kepada kenaikan ekuiti baru-baru ini di pasaran apabila telah mendorong ekuiti dan harga minyak rendah dengan niaga hadapan Hang Seng Indeks Hong Kong turun pada 0.68% manakala niaga hadapan Nikkei 225 Jepun turun pada 0.1%.

 

Anda mungkin juga berminat