Saham Perak Corp Membadai Seperti Hallyu Wave

190

Saham Perak Corp Bhd melonjak setinggi 61 sen pada sesi dagangan pagi ini, meningkat 17.5 sen atau 40.23% berbanding ketika ditutup pada 43.5 sen semalam.

Peningkatan itu berlaku didorong oleh pengumuman syarikat berkenaan berkaitan pelan penstrukturan semula hutangnya.

Pada pukul 9.34 pagi, saham meningkat sedikit untuk mencapai paras 53.5 sen, masih naik sebanyak 10 sen atau 22.99%. dan merupakan yang tertinggi direkodkan sejak 6 Mei 2019 ketika ditutup 55 sen.

Sesi dagangan pagi tadi juga menunjukkan sejumlah 1.93 juta saham syarikat terbabit bertukar tangan.

Keuntungan yang dicatatkan oleh Perak Corp meletakkannya di tempat kedua dalam senarai kaunter paling untung setakat hari ini.

Semalam, syarikat itu mengumumkan pelan penstrukturan semula dengan para pemiutangnya yang melibatkan penyelesaian tunai bernilai lebih RM220 juta, penerbitan saham berjumlah lebih RM30 juta, cadangan pengecualian hutang sebanyak RM544.55 juta dan penyelesaian masa depan menerusi pelan pemulihan syarikat terbabit.

Perak Corp juga dilaporkan menjual empat bidang tanah kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai RM78.68 juta untuk menyelesaikan sebahagian hutangnya.

Tambah Perak Corp, usaha penyelesaian hutang itu adalah sebahagian daripada perancangan syarikat tersebut untuk keluar dari status PN17.

Sebanyak RM70.81 juta daripada hasil penjualan akan digunakan untuk pembayaran pinjaman bank dan bakinya akan dijadikan sebagai keperluan modal kerja.

Pemiutang yang terlibat dalam skim penyelesaian hutang Perak Corp adalah Affin Islamic Bank Bhd, CIMB Bank Bhd, Affin Hwang Investment Bank Bhd, Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan Malaysia Debt Ventures Bhd.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat