Sambutan Tahun Baru Cina Buat Pelabur ‘Standby’

610

Bursa Malaysia kembali pulih untuk dibuka tinggi pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, kebanyakan peniaga masih mengambil sikap berhati-hati terutama menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada akhir minggu ini.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 0.47 mata kepada 1,579.10 daripada 1,578.63 ketika ditutup pada petang Jumaat lepas.

Bernama melaporkan, indeks utama dibuka 1.81 mata lebih tinggi pada 1,580.44.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 351 berbalas 181 sementara 328 kaunter tidak berubah, 1,280 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 520.23 juta unit bernilai RM211.57 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, FBM KLCI memperlihatkan prestasi rendah berbanding bursa serantau yang lain pada Jumaat lalu.

Ini susulan kerugian di kaunter berwajaran tinggi iaitu sarung tangan dan perladangan selepas meningkat rancak baru-baru ini dengan tekanan penjualan dalam kalangan institusi tempatan dan asing terus menjejaskan bursa tempatan walaupun terdapat minat membeli oleh pelabur runcit tempatan.

“Untuk urus niaga pagi ini, kaunter berharga murah mungkin menyaksikan beberapa peningkatan menjelang pelancaran vaksin,” katanya dalam satu nota.

Untuk fokus sektor pula, firma itu berkata, sokongan belian dijangka muncul di kaunter perladangan dirangsang oleh harga minyak sawit mentah yang tinggi.

“Selain itu, saham berkaitan teknologi, perabot dan pengguna akan meneruskan trend menaik sepanjang tempoh musim pelaporan keputusan kewangan,” tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM7.87, Public Bank turun dua sen kepada RM4.10, Petronas Chemicals meningkat tujuh sen kepada RM7.42 dan Tenaga menambah empat sen pada RM9.74.

Kaunter paling cergas, AT Systemization, Dagang Nexchange dan Thrive Property masing-masing mengukuh 1.5 sen kepada 18 sen, 29.5 sen dan 27 sen, sementara MTouche turun setengah sen kepada lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 25.52 mata kepada 11,527.85, Indeks FBMT 100 menambah 13.61 mata kepada 11,243.17 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 29.59 mata kepada 13,091.95.

FBM 70 meningkat 58.14 mata kepada 15,117.96 dan FBM ACE melonjak 60.01 mata kepada 10,921.24.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.44 mata kepada 14,623.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.03 mata kepada 175.74 dan Indeks Perladangan lebih tinggi 7.01 mata kepada 7,214.78.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat