Santai Setia Alam Jadi Platform Peniaga Kecil & Bumiputera

152

Usaha murni untuk membantu para peniaga kecil dan Bumiputera terutamanya yang selama ni menjaja di tepi jalan, menjadi inspirasi kepada insan berhati mulia ini, Khairi Julia untuk membuka tapak bazar larut malam yang dikenali sebagai Santai @ Setia Alam.

Menurutnya lagi, beliau berpendapat perlu wujud satu platform untuk para usahawan mengembangkan perniagaan mereka selain pihaknya dapat menjalankan aktiviti promosi buat para peniaga di situ.

“Saya lihat di Setia Alam, tiada lokasi untuk membeli-belah pada waktu malam dan saya lihat tapak yang suatu ketika dahulu adalah terminal bas, sesuai dijadikan sebagai lokasi bazar larut malam.

“Saya juga melihat Santai ini bukan sahaja sesuai untuk golongan muda tetapi juga untuk mereka yang bekeluarga. Selain kawasannya yang luas, teratur dan bersih, Santai juga menyediakan pelbagai variasi makanan,” jelas Khairi.

Wanita tersebut telah berjinak dalam dunia pengurusan acara selama 20 tahun dan ini merupakan kali ke-15 pihaknya membuka konsep bazar di negara ini.

Ujarnya, ketika mahu membuka Santai, beliau berdepan cabaran bagi meyakinkan para peniaga mengenai potensi lokasi Santai untuk menarik pengunjung dan disebabkan itu, Khairi serta pasukannya giat mengadakan promosi dan mengedarkan risalah kepada golongan usahawan kecil.

“Kita sebagai pihak pengurusan mahu mengucapkan terima kasih kepada semua peniaga di Santai kerana berani untuk menyewa di bazar ini dan pada masa yang sama, kami akan melakukan yang terbaik untuk menarik lebih ramai pengunjung ke sini.

“Apabila pengunjung bertambah, para peniaga pun dapat meningkatkan lagi hasil jualan mereka,” tuturnya.

Bagi menarik lebih ramai pengunjung yang hadir di Santai, Khairi memaklumkan pihaknya menyediakan pelbagai acara menarik pada setiap minggu antaranya persembahan artis dan sebagainya.

Selain itu, Khairi juga tidak menolak kemungkinan akan membuka satu lagi bazar yang mempunyai konsep sama seperti Santai namun butirannya masih dirahsiakan dan akan dimaklumkan kelak.

Di akhir temuramah itu, Khairi berharap agar Santai menjadi pilihan utama kepada warga tempatan khususnya penduduk di sekitar Setia Alam sekiranya mahu beriadah, mencari makanan selain menjadi tempat mencari rezeki buat para peniaga.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat