Satu Berita Baik Untuk Rakyat Eropah

355

Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan firma penghasilan vaksin, AstraZeneca akan membekalkan tambahan 9 juta dos vaksin menjelang Mac kelak.

Menurut Presiden Suruhanjaya EU, Ursula Von Der Leyen, AstraZeneca akan menghantar tambahan 9 juta dos vaksin pada suku pertama tahun ini, berbanding 40 juta yang dicadangkan sebelum ini.

Penghantaran vaksin itu juga akan dilakukan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Langkah itu diambil selepas EU berdepan kritikan berhubung program vaksinasi blok berkenaan.

EU menandatangani perjanjian bersama AstraZeneca untuk 300 juta vaksin, dengan pilihan tambahan 100 juta vaksin pada Ogos lalu.

Blok itu berharap 80 juta vaksin akan dihantar pada suku pertama tahun ini tetapi AstraZeneca memaklumkan berlakunya masalah penghasilan di kilangnya di Belanda dan Belgium.

Laporan media melaporkan situasi tersebut akan menyebabkan pengurangan 60% bekalan vaksin pada akhir Mac.

EU terbabit dalam perbalahan antara United Kingdom (UK) dan AstraZeneca minggu lalu.

Blok terbabit dikritik selepas mengugut untuk menghalang vaksin yang dihasilkan dalam negara EU memasuki UK menerusi sempadan Ireland Utara.

Sempadan tersebut merupakan salah satu isu utama yang perlu diselesaikan pada perjanjian Brexit yang dipersetujui baru-baru ini susulan pengunduran UK daripada EU.

EU dilaporkan berang Britain memperoleh bekalan vaksin daripada AstraZeneca ketika blok berkenaan berdepan masalah kekurangan vaksin.

Berikutan itu, EU mengumumkan pelaksanaan kawalan eksport terhadap vaksin Covid-19 yang dihasilkan dalam EU, bertujuan mengawal bekalannya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat