Sebelum Ni Nampak ‘Steady’ Je, Sekarang Elon Musk Pun Takut Dengan Kadar inflasi Tinggi!

15,110

‘Kalau orang terkaya dunia pun takut tengok inflasi lambung tinggi, apatah lagi rakyat marhaen seperti kita ini?’

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla dan pengasas syarikat SpaceX, Elon Musk berasa bimbang dengan kadar inflasi yang tinggi akan memberi tekanan kepada bahan mentah dan logistik.

Dalam satu tweet berkenaan perkaitan konflik Rusia-Ukraine dengan harga komoditi yang melambung tinggi sejak 2008, Musk telah retweet dengan bertanya mengenai prospek kadar inflasi dan menyatakan bahawa syarikatnya juga ‘tidak terkecuali’ daripada terkena tempias.

Sebagai makluman, serangan Rusia ke atas Ukraine telah menyebabkan harga komoditi seperti logam untuk kereta, aluminium untuk badan sehingga paladium kereta dan nikel gred tinggi untuk bateri kereta melambung tinggi.

Walaupun negara-negara barat masih belum mengenakan sekatan terhadap bahan logam, namun ia tetap memberi kesan kepada penghantaran pembekal alat ganti kereta dari Rusia dan secara tidak langsung memberi tekanan kepada pembuat kereta yang masih bergelut dengan masalah kekurangan cip serta harga tenaga yang mahal.

Umum mengetahui bahawa data inflasi pengguna Amerika Syarikat (AS), didorong dengan harga rumah, makanan dan gas telah mencanak ke paras tertinggi sejak 40 tahun sehingga mendesak Federal Reserve (Fed) untuk menaikan kadar faedah lebih agresif.

Dalam pada itu, saham Tesla ditutup rendah 5% pada $795.35 semasa sesi penutupan pada Jumaat.

Tesla pada minggu lalu telah menaikkan harga SUV Model Y dan sedan Model 3 sebanyak $1,000 setiap satu unit serta beberapa model lain buatan China sebanyak 10,000 Yuan.

Selain itu, pesaing Tesla, Rivian Automotive menyatakan masalah dan kekangan rantaian bekalan bahan mentah boleh menyebabkan pengeluaran syarikatnya dipotong separuh.

Toyota Motor Corp Japan juga menyatakan mereka terpaksa mengurangkan pengeluaran domestik sebanyak 20% untuk April sehingga Jun bagi mengurangkan tekanan pada pembekal yang bergelut dengan isu kekurangan cip dan bahan lain.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat