Selepas ‘Dicuit’, Supermax Naik Taraf Kebajikan Pekerja

199

‘Macam ni bagus, dah kena tegur terus ambil tindakan.’

Syarikat pengeluar sarung tangan getah tempatan, Supermax yang dikenakan larangan import oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS) dilihat sudah berubah.

Syarikat yang dikenakan tindakan atas tuduhan amalan buruh paksa dan mengabaikan kebajikan pekerja pada Oktober lalu kini memberi jaminan penetapan piawaian pematuhan antarabangsa seperti yang dijanjikan pada Januari.

Menerusi kenyataan rasmi Supermax, segala kemudahan asrama pekerja telah disiapkan mengikuti piawaian tempatan dan antarabangsa termasuk menyediakan kantin dan ruang makan, mesin ATM serta kemudahan lain.

Selain itu, Supermax juga dikatakan telah menubuhkan dana penjelas bagi memudahkan pembayaran pampasan kepada bekas pekerja asingnya yang layak.

Ulas syarikat, dana penjelas tersebut akan diawasi oleh firma perundingan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia yang berpangkalan di Malaysia serta pakar keadilan sosial pekerja asing.

Tambahnya, kumpulan pertama pembayaran kepada bekas pekerja asingnya telah selesai.

Di samping itu, syarikat turut mewujudkan jawatankuasa pekerja syarikat yang akan bertindak menghubungkan pekerja dan pengurusan, selain menyediakan saluran aduan yang membolehkan pekerja menyuarakan kebimbangan secara langsung.

Berkenaan isu amalan buruh paksa pula, Supermax telah menetapkan peraturan pengurusan cuti, pengiraan gaji dan pengeluaran slip gaji bagi pekerja secara langsung dan tidak langsung.

Dalam pada itu, Supermax berkata mereka dalam usaha untuk ke arah ‘dasar pintu terbuka’ dalam beberapa bulan mendatang termasuk jemputan terbuka kepada wakil kedutaan untuk melawat tapak mereka dan bertemu pekerja.

Setakat artikel ini ditulis, saham Supermax turun 1 sen pada RM1.03 dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.8 bilion.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat