Selepas Meningkat 7 Hari Berturut-turut, Trend Bullish Bursa Sudah Berakhir?

349

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada sesi dagangan hari ini namun kemudiannya mengalami penyusutan setelah didorong aktiviti profit taking pada saham wajaran tinggi terpilih.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka 2.05 mata lebih tinggi kepada 1,603.43 daripada 1,601.32 ketika penutupan pada Isnin.

Namun setakat 10.00 pagi, indeks FBM KLCI telah merosot 9.40 mata kepada 1,591.98.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 262 berbanding 233, manakala 374 kaunter tidak berubah, 1,349 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 660.88 juta unit bernilai RM310.27 juta.

Malacca Securities berkata indeks utama mempamerkan kenaikan 7 hari berturut-turut, jadi tidak hairanlah ia alami penurunan sebelum lebih banyak sektor mula menunjukkan pemulihan yang ketara.

Menurutnya, pembukaan semula kegiatan perniagaan akan menjadi petanda baik kepada ekonomi dek kerana lebih banyak negeri beralih ke Fasa 3 dan 4 dari Rancangan Pemulhan Nasional.

Lonjakan melepasi paras utama 1,600 pada Isnin didorong oleh minat belian yang kukuh dari dana asing dalam wajaran tinggi dan dipacu oleh isyarat positif dari pasaran serantau dan Wall Street.

“Peningkatan kadar vaksinasi di Malaysia juga telah mendorong kenaikan itu dan kami berharap ia bakal menjadi dorongan yang mantap bagi sektor pemulihan seperti perbankan dan yang berkait dengan pengguna dan bahan binaan,” tambahnya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.40, Public Bank susut 5.0 sen kepada RM4.13 dan TNB jatuh 8.0 sen kepada RM10.38.

Manakala Petronas Chemicals meningkat 10 sen kepada RM8.40 dan IHH Healthcare merosot 10 sen kepada RM6.30.

Bagi saham aktif, Borneo Oil dan Vortex Consolidated masing-masing naik setengah sen kepada 3.5 sen dan 8.5 sen, Bintai Kinden menokok 2.5 sen kepada 50.5 sen dan PA Resources naik 3.5 sen kepada 44.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 melonjak 37.65 mata pada 11,305.26, FBM 70 jatuh 9.49 mata kepada 15.013.97 dan FBM ACE susut 10.85 mata kepada 7.234.05.

Indeks FBM Emas merosot 34.01 mata kepada 11,593.86 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 48.64 mata kepada 12,701.82.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 18.27 mata kepada 15,575.54, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.06 mata kepada 199.44 dan Indeks Perladangan jatuh 28.12 mata kepada 6,723.13.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat