Selepas TikTok Disekat Di India, Youtube Perkenalkan Aplikasi Seakan TikTok

261

YouTube mengumumkan telah menguji versi beta aplikasi terbaharunya yang dikatakan bakal menyaingi populariti TikTok di India.

Aplikasi berkenaan yang dikenali sebagai YouTube Shorts hanya mengehadkan durasi sesebuah video selama 15 saat sahaja dan turut menyediakan platform kepada orang ramai untuk edit video mereka.

India sebelum ini menyekat TikTok dan 58 lagi aplikasi milik China pada Jun lalu ekoran ketegangan memuncak kedua-dua negara di sempadan China-India.

Ketika itu, India merupakan pasaran asing terbesar bagi TikTok dan mempunyai kira-kira 120 juta pengguna di India.

India mendakwa data pengguna TikTok di India digunakan oleh China untuk tujuan pengintipan selain pertempuran tentera di Lembah Galwan di sempadan China-India di Banjaran Himalaya.

Selain YouTube, beberapa syarikat pembangun lain turut bersaing bagi mengisi ‘kekosongan’ yang ditinggalkan oleh TikTok.

Menerusi satu kenyataan di ruangan blog YouTube, Naib Presiden Pengurusan Produk, Chris Jaffe berkata, YouTube Shorts dibangunkan untuk para pencipta dan artis yang mahu merakam video pendek menarik dengan menggunakan telefon pintar mereka.

Ciri-ciri baharu yang disertakan dalam aplikasi tersebut termasuklah menggabungkan pelbagai klip video bersama, mengawal kelajuan video dan menyertakan kiraan masa untuk tujuan merekod secara hands-free.

YouTube Shorts juga memberi pilihan kepada pengguna untuk merekod menggunakan muzik serta akses kepada himpunan pelbagai lagu.

Tambah Jaffe, YouTube Shorts akan dipasarkan ke semua negara di dunia sebaik sahaja produk tersebut dikemaskini dan beberapa ciri telah ditambah.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat