US Dolar berjaya membuat sedikit pemulihan minggu ini selepas merekod kejatuhan tiga minggu berturut-turut yang disokong oleh data positif, kenyataan The Fed yang meyakinkan dan pemotongan cukai. Indeks US dolar yang mengukur kekuatan matawang greenback merekod sedikit kenaikan dan jikalau bukan kerana risiko politik yang berlaku pada Jumaat, US dolar sudah tentu merekod kenaikan lebih tinggi.
Data-data ekonomi seperti jualan rumah melonjakkan US dolar lebih tinggi di mana jualan meningkat ke paras tertinggi sejak 10 tahun lalu. Data lain yang memangkin US dolar adalah indeks keyakinan pengguna dan juga kenaikan pertumbuhan (GDP) Amerika Syarikat kepada 3.3% pada suku ketiga dari 3.0% sebelum ini.
Komen Yellen agak meyakinkan minggu ini dan juga ikrar yang disampaikan oleh bakal Pengerusi Fed Jerome Powell turut jadi perhatian.
Selain itu, apa yang membantu kenaikan US dolar adalah undian di Senat U.S. yang meluluskan ‘reformasi cukai’. Ini adalah perkara penting yang ditunggu-tunggu oleh pelabur sejak awal tahun ini. Potongan cukai ini sudah tentu akan memberi banyak keuntungan kepada korporat atau golongan kaya di Amerika. Ia juga sudah tentu akan banyak memangkin kenaikan pasaran saham.
Namun, kelulusan cukai ini dicapai selepas penutupan pasaran Jumaat dan kita menjangka terdapat ‘gap-up’ untuk matawang US dolar pada pembukaan pasaran Isnin. USD/JPY dijangka gap ke atas dan EUR/USD Gap ke bawah.
Apa yang menyebabkan kejatuhan US dolar pada Jumaat adalah laporan bahawa bekas Penasihat Keselamatan Trump, Flynn bersetuju untuk membuat keterangan terhadap Presiden Trump. Flynn bersedia untuk mengakui calon Presiden Trump tahun lalu mengarahkan beliau untuk menghubungi Rusia. Ini adalah perkembangan siasatan yang begitu signifikan dan berpotensi menjatuhkan beliau sebagai pemimpin tertinggi Amerika Syarikat.
Sebelum kita meneruskan kepada ulasan kalendar ekonomi sepanjang minggu lalu kita lihat dahulu julat pergerakan pasangan matawang utama dunia pada minggu lalu dan minggu sebelum itu untuk melihat perbezaan antara kedua-dua tempoh ini.
20 – 24 November | 27 Nov – 01 Dis |
Eur/Usd- naik 231 pip | Eur/Usd – volatile 152 pip |
Usd/Jpy– jatuh 165 pip | Usd/Jpy – volatile 204 pip |
Gbp/Usd– naik 174 pip | Gbp/Usd – naik 346 pip |
Usd/Chf- jatuh 176 pip | Usd/Chf – jatuh 147 pip |
Usd/Cad– jatuh 164 pip | Usd/Cad – jatuh 229 pip |
Aud/Usd– naik 106 pip | Aud/Usd – volatile 94 pip |
Nzd/Usd– naik 116 pip | Nzd/Usd – volatile 129 pip |
Tanpa membuang masa lagi, mari kita lihat ulasan keseluruhan data-data dan event ekonomi sepanjang minggu lalu.
- Keterangan Jerome Powell di Kongres, US (Selasa)
“Kita mesti fleksibel dalam mengubah polisi,” kata Powell dalam ucapan bertulis yang dikeluarkan lebih awal. “Saya akan buat apa saja dengan kuasa yang ada untuk mencapai matlamat dalam masa yang sama mengekalkan kebebasan Federal Reserve,” kata Powell yang merujuk kepada mandat pemaksimuman pekerjaan dan kestabilan inflasi.
- Ujian Stress UK (Selasa)
Bank-bank di Britain boleh berhadapan dengan ketidaktentaun Brexit tanpa perlu mengurangkan pemberian pinjaman atau dibantu oleh pembayar cukai, kata Bank of England pada Selasa. Buat pertama kali sejak ‘ujian stress’ ini diperkenalkan pada 2014, tiada satu pun bank di Britain yang memerlukan tambahan modal, kata bank pusat.
- Keterangan Yellen di Kongres, US (Rabu)
Pengukuhan ekonomi Amerika Syarikat akan menyokong kenaikan kadar faedah yang berterusan, kata pengerusi The Fed pada Rabu dalam ucapan bertulis kepada Kongres. Beliau tidak memberi komen tentang bilakah kadar faedah akan dinaikkan selepas ini.
- Pertumbuhan ekonomi, US (Rabu)
Ekonomi Amerika Syarikat mencatat pertumbuhan lebih pantas pada suku ketiga yang tertinggi sejak tiga tahun lepas disokong oleh peningkatan pelaburan perniagaan dalam komponen inventori walaupun perbelanjaan pengguna hanya sederhana. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik 3.3% pada suku ketiga yang turut dilonjakkan oleh kenaikan semula perbelanjaan kerajaan. Pertumbuhan kali ini melebihi suku kedua yang mencatat kenaikan 3.0%.
- Data keyakinan perniagaan ANZ, New Zealand (Khamis)
Sentimen perniagaan New Zealand pula jatuh kepada paras terendah lapan tahun lalu pada November. Ketidaktentuan dalam pentadbiran baru kerajaan buruh dan sektor perumahan yang perlahan telah menyebabkan sebahagian besar perniagaan pesimis dengan keadaan semasa ekonomi. Tinjauan yang dibuat menunjukkan bacaan 39.3% respondan menjangka ekonomi akan perlahan tahun depan. Ini juga adalah jumlah pesimis yang tertinggi sejak 2009.
- Data pelaburan perniagaan Australia
Australia merekod bacaan kukuh dalam data pelaburan perniagaan yang ditunjukkan dalam laporan yang dikeluarkan pukul 8.30 pagi pada Khamis. Jumlah pelaburan pada suku ketiga meningkat 1% kepada $29.368 billion dengan data kali ini sejajar dengan jangkaan yang dibuat oleh RBA (bank pusat Australia).
- Indeks sektor pembuatan, China (Khamis)
Indeks sektor pembuatan China (China manufacturing PMI) meningkat kepada 51.8 pada November melebihi jangkaan 51.5 di mana sektor perkhidmatan pula naik dari 54.3 kepada 54.8 pada tempoh sama. Data hari ini menggambarkan ekonomi China yang lebih baik dengan momentum yang bertambah bulan ini.
- Data inflasi Zon- Eropah (Khamis)
Inflasi Zon-Eropah meningkat pada November dengan indeks harga pengguna (Consumer Price Index, CPI) naik ke paras 1.5% daripada 1.4% sebelum ini. Kadar inflasi ini masih lagi berada di bawah sasaran 2% dan masih belum menyokong kenaikan kadar faedah secara beransur-ansur.
- Data inflasi US (Khamis)
Perbelanjaan pengguna Amerika Syarikat mendatar pada Oktober dengan petunjuk harga juga tidak banyak yang berubah. Statistik yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan perbelanjaan pengguna yang mewakili lebih daripada dua per tiga aktiviti ekonomi U.S. meningkat 0.3% bulan lalu selepas meningkat 0.9% yang dikaji semula pada September.