Senat AS Lulus Pelan Belanjawan Ekonomi AS$1.2 Trilion

521

Senat Amerika Syarikat (AS) sebulat suara bersetuju untuk meluluskan rang belanjawan ekonomi bernilai AS$1.2 trilion.

“Kita telah mencapai kesepakatan,” kata Presiden AS, Joe Biden selepas mengadakan pertemuan dengan para senator di White House.

Pelan belanjawan selama lapan tahun itu meliputi dana untuk jalan raya, jambatan, bekalan elektrik, pengangkutan awam dan Internet.

Menurut Biden, pelan terbabit akan mewujudkan ‘jutaan’ peluang pekerjaan.

“Kita dalam perlumbaan dengan China dan seluruh dunia untuk abad ke-21. Kesepakatan ini memberi isyarat kepada dunia bahawa kita dapat berfungsi, menyampaikan dan melaksanakan perkara-perkara penting,” jelas beliau.

Kurang separuh daripada dana dalam pelan itu adalah pembiayaan baharu. Itu termasuklah peruntukan sebanyak AS$109 bilion untuk jalan raya dan jambatan; AS$66 bilion untuk jalan kereta api; AS$49 bilion bagi pengangkutan awam dan AS$25 bilion untuk lapangan terbang.

Sebanyak AS$73 bilion akan disalurkan untuk bekalan elektrik dan AS$65 bilion lagi untuk memperluaskan akses Internet jalur lebar.

Pelan itu akan dibayar dengan wang bantuan Covid-19 yang tidak digunakan dan faedah pengangguran yang dikembalikan.

Dalam pada itu, Biden mahu melaksanakan satu lagi pakej belanjawan bernilai AS$6 bilion yang merangkumi dana untuk perubahan iklim, pendidikan, cuti bergaji dan faedah penjagaan kanak-kanak.

Langkah itu juga dijangka meliputi kenaikan cukai ke atas golongan kaya dan syarikat besar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat