Sendunya Pergerakan Pasaran! Kenapa Ni?

276

Pasaran mata wang terus bergerak perlahan pada sesi dagangan Khamis walaupun telah diperlihatkan dengan data berimpak tinggi dari Amerika, jualan runcit untuk bulan Oktober.

Meneliti data yang diterbitkan pada sesi terdahulu, Jabatan Perdagangan mendedahkan jualan runcit AS melonjak melebihi jangkaan pada bulan lalu dengan kenaikan 1.3% berbanding 1.0% yang diramalkan pasaran.

Angka yang dicatatkan ini secara tidak langsung menjejaskan harapan pelabur bahawa inflasi sedang menurun dan kenaikan kadar faedah akan diperlahankan.

Sungguhpun begitu, pasaran gagal memberi reaksi ketara, menyaksikan kebanyakan mata wang utama termasuk US dolar kekal didagangkan mendatar pada sesi Asia.

Malah, ketegangan geopolitik yang dibimbangi pelabur telah pudar selepas Presiden AS Joe Biden memberitahu sekutu G7 dan NATO bahawa peluru berpandu yang menghentam Poland berkemungkinan daripada Ukraine.

Ketika penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan pada sekitar harga 106.35 berbanding sekumpulan mata wang utama.

Sementara itu, pound pula didagangkan sedikit berubah pada sekitar paras tertinggi 2 setengah bulan, gagal memanfaatkan data inflasi UK yang melonjak ke tahap terkuat baharu 41 tahun pada bulan Oktober dengan kenaikan 11.1%.

Dagangan euro turut bergerak mendatar pada sekitar tahap tertinggi 3 bulan berbanding dolar greenback.

Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand jatuh sedikit semalaman, sebagai tindak balas kepada data AS, dan stabil dalam dagangan sesi Asia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat