Sentimen Dagangan Awal Minggu – Matawang Utama Didagangkan Berhati-Hati

347

Dagangan awal minggu sesi Asia menyaksikan matawang USD kembali meningkat sementara matawang utama lain pula mempamerkan penyusutan berikutan kesediaan pelabur yang menantikan laporan mengenai kesan coronavirus terhadap ekonomi global.

Kes pandemik coronavirus di Amerika Syarikat terus mencatat peningkatan sehingga mencecah 763,832 kes dan 40,553 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan di seluruh dunia kepada 2.4 juta kes dan 165,106 kematian.

Dalam taklimat harian Presiden AS Donald Trump pada Ahad, beliau memberitahu bahawa parti Demokrat dan Republikan kini hampir mencapai kesepakatan ke atas pelan rangsangan wang tambahan untuk membantu perniagaan kecil yang terjejas dan akan memuktamadkan perjanjian tersebut secepatnya pada Isnin.

Kebanyakan matawang utama didagangkan berhati-hati, dengan dolar Aussie mencatat penyusutan setelah mencapai paras ketinggian satu bulan berbanding US dolar pada dagangan minggu lalu.

Dolar kiwi turut diniagakan menyusut namun dengan bacaan kadar inflasi New Zealand yang meningkat kepada 2.5% pada suku pertama 2020 daripada 1.9% pada suku sebelumnya telah membataskan penurunannya untuk susut lebih rendah berbanding USD.

Mengikuti perkembangan di Eropah, matawang pound didagangkan berhati-hati sementara kerajaan UK mengumumkan pakej sokongan bernilai £1.6 juta untuk membantu syarikat teknologi bertahan daripada kesan pandemik coronavirus.

Selain itu, matawang euro turut diniagakan menyusut berbanding US dolar dengan tumpuan pasaran minggu ini terarah kepada penerbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan Eropah bagi menyaksikan kesan sebenar COVID-19 ke atas ekonomi di rantau itu.

Institusi kewangan Kesatuan Eropah (EU) perlu mengeluarkan €500 bilion lagi untuk menyokong pemulihan ekonomi sebagai tambahan kepada pakej rangsangan €1 trilion sebelum ini, menurut Pengarah Urusan Kestabilan Eropah, Klaus Regling.

Dolar Kanada menyusut lebih 0.4% berbanding US dolar, didorong oleh kelemahan harga minyak mentah dunia yang terkesan dengan kebimbangan terhadap bekalan minyak yang berlebihan dalam pasaran.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat