Sentimen Pasaran Dorong Peningkatan Selera Terhadap Aset Berisiko

0 284

Pembukaan pasaran sesi Eropah menyaksikan pergerakan beberapa matawang utama mula meningkat selepas diniagakan dalam suasana berhati-hati pada sesi Asia disebabkan oleh ketidakpastian mengenai perjanjian yang ditandatangani antara Amerika Syarikat dan China.

Pasaran kekal berhati-hati apabila melihat butiran perjanjian fasa 1 didapati gagal menangani isu-isu ekonomi utama yang sebelum ini telah mencetuskan ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Selain itu, pasaran juga kekal pesimis terhadap penyelesaian perjanjian fasa 2, terutamanya menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada November.
US dolar kekal diniagakan di paras mingguannya berbanding yen dan menyusut berbanding beberapa matawang utama lain.

Kenyataan Naib Presiden, Mike Pence mengenai perbincangan perjanjian dagang fasa 2 telah bermula dan perunding sedang berusaha menyelesaikan perbezaan, telah membantu meningkatkan selera terhadap aset berisiko.

Ini telah mendorong kepada peningkatan dagangan dolar Kanada berbanding US dolar yang turut disokong oleh kenaikan harga minyak mentah.

Matawang Asia terus mempamerkan pengukuhan dengan dolar Aussie dan New Zealand kekal didagangkan lebih tinggi berbanding US dolar.

Sementara itu di Eropah, dagangan pound memanfaatkan peluang dengan penyusutan US dolar untuk diniagakan tinggi berbanding matawang itu pada sesi Eropah, meskipun masih ditekan oleh jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Bank Pusat England (BoE) yang semakin meningkat.

Dolar euro pula susut sedikit berbanding USD sementara tumpuan pasaran terarah kepada minit mesyuarat Bank Pusat Eropah (ECB) bagi bulan Disember dan data jualan runcit A.S yang akan diterbitkan pada malam ini.

Anda mungkin juga berminat