Sentimen Pasaran Sedikit Pulih Didorong Komen Positif Mnuchin

312

Dagangan dolar Amerika Syarikat berlegar di sekitar paras tertinggi mingguan berbanding Yen pada Khamis disokong oleh harapan terhadap rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China walaupun pelabur masih lagi berwaspada menjelang pertemuan pemimpin kedua-dua negara tersebut di Osaka, Jepun pada minggu ini.

Kenaikan pada nilai matawang dolar USD adalah didorong oleh komen positif oleh Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Steven Mnuchin yang mengatakan rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China telah hampir 90% sempurna.

Komen beliau walau bagaimanapun dinyatakan semula bahawa beliau merujuk kepada keadaan rundingan dagang pada situasi sebelum ini antara dua ekonomi gergasi dunia itu.

Ketika komen Mnuchin disiarkan semalam, pasaran menunjukkan reaksi di mana dapat dilihat penurunan ketara pada dagangan safe-haven Yen berikutan pelabur mula menjangkakan sentimen pasaran kembali pulih.

Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping akan bertemu di persidangan kemuncak G20 pada 28 dan 29 Jun di Jepun dan pelabur memberi tumpuan terhadap rundingan tersebut untuk mendapatkan petunjuk sama ada dua pemimpin tersebut berjaya membuka laluan ke arah penyelesaian ketegangan yang berlarutan dalam tempoh yang agak membimbangkan.

Keputusan rundingan tersebut juga akan mempengaruhi keputusan Federal Reserve untuk penetapan kadar faedah. Jika kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak menambah lagi kadar tarif terhadap barangan import masing-masing, Fed tidak lagi perlu untuk memotong kadar faedah.

Untuk data domestik, pelabur akan memberi tumpuan pada data pertumbuhan GDP Amerika Syarikat untuk bacaan akhir. Bacaan data akan memberi petunjuk terhadap kesihatan ekonomi semasa untuk setiap suku tahunan.

Dagangan Pound Sterling pula tidak menunjukkan sebarang perkembangan yang baru di mana risiko ketidaktentuan politik di Britain masih menjadi faktor menekan matawang British tersebut.

Beralih pada dagangan komoditi, matawang dolar Kanada positif disokong oleh faktor kenaikan harga minyak dalam pasaran. Berbanding USD, Loonie telah berjaya mencatatkan kenaikan terbaru sejak awal Februari yang lalu.

Manakala dolar Australia dan dolar New Zealand kembali mengukuh berikutan sentimen pasaran yang dijangka pulih ekoran perkembangan positif rundingan dagang. Pelabur mula beralih pada aset pasaran yang berisiko dan matawang berpulangan tinggi seperti AUD dan NZD akan menjadi tarikan.

Namun begitu, kenaikan pada dagangan Kiwi dijangka bersifat sementara dengan ketidaktentuan pada keputusan rundingan dagang AS-China. Bank pusat New Zealand pada mesyuarat polisi semalam mengekalkan kadar faedah sedia ada dan menyampaikan mesej berintonasi dovish berkaitan kadar faedah untuk mesyuarat yang akan datang.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat