Sentimen Semasa Masih Berisiko, USD Pamer Pemulihan Pada Sesi Eropah

214

Matawang dolar USD mempamerkan peningkatan pada dagangan sesi Eropah berbanding kumpulan matawang utama lain dengan indeks dolar meningkat kepada 97.85.

Dagangan dolar USD diniagakan meningkat berbanding yen selepas mengalami penyusutan disebabkan oleh perkembangan terbaru dalam rundingan dagangan AS dan China.

Sentimen pasaran kekal berhati-hati berikutan keyakinan untuk melihat dua ekonomi terbesar dunia itu menamatkan pertikaian perdagangan, semakin memudar. China telah menyatakan keraguannya untuk mencapai perjanjian dengan AS setelah terkesan dengan kenyataan Trump mengenai pembatalan tarif.

Pasaran juga turut tertumpu kepada laporan minit mesyuarat Federal Reserve (Fed) AS yang akan dikeluarkan pada Khamis ini untuk mencari lebih banyak petunjuk mengenai dasar monetari daripada Fed selepas ini.

Sementara itu, dagangan pound mengukuh berbanding kebanyakan matawang utama dengan diniagakan di sekitar paras 1.2950 berbanding dolar USD disokong oleh beberapa perkembangan menjelang pilihan raya UK pada Disember ini.

Perdana Menteri UK Boris Johnson dan pemimpin Parti Buruh Jeremy Corbyn dilaporkan akan berhadapan antara satu sama lain dalam perdebatan televisyen pada hari ini dengan tinjauan terus menunjukkan keputusan yang memihak kepada parti pimpinan PM Johnson.

Di sisi lain, dagangan dolar Australia kembali menunjukkan pemulihan selepas menyusut berikutan Reserve Bank of Australia (RBA) menerbitkan laporan minit mesyuaratnya yang memperlihatkan bahawa akan ada pemotongan kadar faedah selanjutnya selepas ini.

RBA dilaporkan telah mempertimbangkan untuk pemotongan kadar pada November tetapi keputusan itu ditangguhkan selepas mengambil kira kesan negatif yang terjadi disebabkan oleh kadar faedah yang rendah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat