Sentimen Semasa Pasaran Global Setakat Petang Ini

30

Pasaran saham Asia didagang perlahan dan berhati-hati walaupun Wallstreet sekali lagi merekod paras tertinggi dalam sesi dagangan Khamis. Kaunter-kaunter minyak banyak terkesan disebabkan mesyuarat OPEC yang menyebabkan kelemahan di hampir kesemua kaunter-kaunter tenaga.

Hal ini menyebabkan indeks di Australia ASX 200 yang  terdiri dari banyak syarikat-syarikat komoditi susut 0.7% dalam penutupan hari ini berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia sebanyak 5% disebabkan kekecewaan terhadap perjanjian lanjutan oleh OPEC yang kurang dari jangkaan pasaran.

Nikkei 225 turut susut 0.3% dengan Hang Seng tidak berubah dan Shanghai Komposit naik 0.2%.

Moody’s menyatakan pertumbuhan ekonomi China akan semakin perlahan dan China berpotensi kehilangan penarafan A1 jika terdapat isyarat hutang yang semakin bertambah dan melebihi jangkaan.

Di Eropah, tinjaun terbaru menunjukkan Parti Emmanuel Macron (En Marche!) dijangka akan memenangi majoriti yang lebih banyak dalam pilihanraya parlimen bulan depan dengan 310-330 kerusi (280 kerusi untuk majoriti).

Di UK pula tinjauan Yougov semalam menunjukkan margin perbezaan antara Parti Konservatif dan Parti Buruh semakin kecil. Parti Theresa May kini dengan sokongan 43% (-1) manakala Parti Buruh dengan 38% (+3).

Dalam pasaran tukaran matawang (forex), Gbp/Usd meneruskan kejatuhannya selepas gagal bergerak ke arah 1.3000. Kini Gbp/Usd didagang di sekitar 1.2869 jatuh sebanyak 160 pip dari paras tertinggi Khamis berikutan anggaran pertumbuhan ekonomi GDP yang meleset dari jangkaan dan juga persaingan antara Parti Konservatif dan Buruh yang semakin sengit.

Eur/Usd sejak beberapa hari ini didagang tidak menentu disebabkan faktor pergerakan US dolar yang turun-naik dan juga kekuatan matawang Euro sendiri berdasarkan sentimen semasa. Tidak lupa juga matawang yang berkaitan komoditi kebanyakan susut sejak semalam.

Dalam pasaran komoditi, pasaran minyak mentah meneruskan kelemahan pada Jumaat selepas OPEC  bersetuju untuk membuat pertaruhan lebih lama bagi menyeimbangkan pasaran. Dalam mesyuarat di Vienna pada Khamis, OPEC dan beberapa pengeluar non-OPEC bersetuju untuk melanjutkan perjanjian untuk mengurangkan sebanyak 1.8 juta tong sehari pada akhir suku pertama tahun 2018.

Di Amerika Syarikat, menurut Presiden Fed St.Louis, James Bullard berkata bahawa trend inflasi AS berada pada fasa yang agak membimbangkan kerana bacaan harga semasa AS nyata lebih rendah daripada jangkaan. Selepas kenaikan kadar faedah pada bulan Mac lalu, rancangan Fed untuk menaikkan kadar faedah pada bulan depan dianggap agresif di saat bacaan inflasi yang masih berada di bawah tahap 2 peratus.

Presiden Fed John Williams berkata beliau masih lagi melihat tiga kali kenaikan kadar tahun ini adalah bersesuaian dengan ekonomi yang kini bergerak dalam keadaan agak panas.

Menantu lelaki Presiden Trump, Jared Kushner yang juga Penasihat White House berhadapan dengan pemerhatian atau penelitian Federal Bureau of Investigation (FBI) dalam siasatan yang membabitkan Rusia seperti yang dilaporkan oleh Washington Post dan NBC News pada Khamis.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat