Sentimen Terkini Pasaran Forex Setakat Pagi Ini

1,001

Matawang dollar USD kembali membuat penurunan dari paras tertinggi dua minggu pada dagangan Rabu setelah Pengerusi Bank Pusat FED, Jerome Powell membuat kenyataan kadar faedah berada di bawah paras neutral sekaligus menguatkan lagi jangkaan pasaran bahawa FED semakin hampir untuk menamatkan kitaran pengetatan dasar monetari mereka. Sebelum ucapan daripada Powell, dollar USD sudah pun dilihat berada dalam tekanan pada dagangan minggu kebelakangan ini dan menunjukkan isyarat FED akan memperlahankan tempo proses pengetatan polisi berikutan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan ditambah lagi dengan kebimbangan terhadap ketegangan perang dagang. Presiden Donald Trump sebelum ini juga meluahkan rasa kekecewaannya terhadap kenaikan kadar faedah oleh FED yang dikatakan menjejaskan ekonomi Amerika Syarikat. Pasaran akan menilai pula minit mesyuarat FED pada 7-8 November lalu yang akan dikeluarkan pada hari ini dan akan memberi petunjuk terhadap kekerapan kenaikan kadar faedah oleh bank pusat FED selepas ini. Tumpuan pasaran seterusnya adalah kepada persidangan G20 yang akan diadakan di Buenos Aires di mana Trump dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping dijadualkan akan berbincang mengenai hubungan dagangan mereka.

Atas faktor ucapan Powell semalam, keceriaan pelabur telah memacu naik indeks-indeks saham utama AS terutamanya indeks DOW yang naik sebanyak 2.5% kepada 25,366.43 mata atau sebanyak 617 mata, indeks S&P500 mengukuh lebih 61 mata iaitu 2.3% kenaikan kepada 2,743.78 mata dan Nasdaq melonjak lebih 208 mata iaitu sebanyak 3% pelonjakan kepada 7,291.59 mata.

Dalam perkembangan data ekonomi pula, data KDNK pada suku tahun ketiga Amerika Syarikat dilaporkan kekal pada paras 3.5% seperti suku tahun sebelumnya. Jangkaan pasaran adalah 3.6%. Manakala dalam sektor perbelanjaan pengguna pula, bacaan dicatatkan turun daripada 4.0% kepada 3.6% dan perbelanjaan perniaagan ke atas peralatan menyaksikan kenaikan besar dari 0.4% kepada 3.5%.

Sementara itu, Pound Sterling kembali menyusut nilai selepas Bank of England (BOE) memberi amaran kepada Britain tentang risiko terhadap ekonomi yang lebih besar berbanding krisis kewangan jika Britain keluar dari Kesatuan Eropah tanpa langkah yang betul. Pasaran akan turut memberi tumpuan terhadap data-data ekonomi di zon Eropah yang akan dikeluarkan petang ini khususnya di Jerman, Perancis dan Sepanyol. Dan tidak lupa juga,pelabur akan memantau data yang akan menjadi sebahagian daripada petunjuk inflasi di Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan pada malam ini.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat