Setelah Terus Menukik, Dagangan Bursa Malaysia Kembali Positif

193

Menuju ke penghujung minggu dagangan, Bursa Malaysia tampaknya menyaksikan lonjakan dengan dibuka tinggi pada sesi dagangan hari ini dek kerana prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik.

Pada 9.59 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mendaki 6.55 mata kepada 1,535.57 setelah diniagakan 3.31 mata lebih tinggi kepada 1,532.33 pagi ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 334 daripada 159, manakala 310 kaunter tidak berubah, 1,499 tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.

Malacca Securities mengatakan bahawa sentimen semasa FBM KLCI dilihat sedikit menokok susulan impak positif oleh Wall Street pada semalam dan cadangan pembukaan tiga lagi destinasi percutian.

Selain itu, ia turut dipengaruhi oleh perkhabaran terbaharu daripada kerajaan yang menyatakan pembukaan semula sempadan antara negeri dijangka dilaksanakan sekiranya kadar vaksinasi dewasa telah mencapai 90%.

Sedikit demi sedikit sektor ekonomi kembali dibuka memberi reaksi yang lebih cerah kepada pemulihan ekonomi dan berikutan itu, pelabur mungkin akan lebih menfokuskan kepada saham penerbangan, pelancongan dan pengguna.

Tidak ketinggalan juga, saham yang mempunyai kaitan dengan telco berkemungkinan akan meneruskan kenaikan pada hari ini sejajar dengan perancangan mengenai Jaringan Digital Nasional (JENDELA).

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank meningkat satu sen kepada RM8.11, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing menokok dua sen kepada RM4.06 dan RM6.65.

Manakala Petronas Chemicals melonjak tiga sen kepada RM8.08 dan Petronas Gas susut lapan sen kepada RM16.82.

Bagi saham aktif, Bintai Kinden naik tiga sen kepada 68 sen, Opcom ‘meroket’ lima sen kepada RM1.16, KNM naik setengah sen kepada 23.5 sen dan TFP Solutions jatuh 1.5 sen menjadi 14.5 sen.

Di papan indeks, FBMT 100 mencanak 30.06 mata kepada 10,967.52, FBM 70 melonjak 43.06 mata menjadi 14,949.99 dan FBM ACE mendaki 61.43 mata kepada 7,168.87.

Indeks FBM Emas meningkat 34.14 mata kepada 11,267.25 dan indeks FBM Emas Shariah menokok 38.31 mata kepada 12,281.98.

Mengikut sektor, indeks Perkhidmatan Kewangan naik 55.65 mata kepada 15,209.51, indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 1.41 mata kepada 199.63 dan indeks Perladangan melayang 9.13 mata menjadi 6,283.85.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat