Siapa Yang Layak Untuk iSinar?!

1,305

Sebelum ini, kita digemparkan dengan keluhan dan rayuan rakyat yang memohon agar kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP akaun 1 akibat daripada kesan penularan Covid-19 yang menjejaskan pendapatan mereka.

Berdasarkan sebuah kenyataan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah pun membuat pembahagian 2 kategori yang melibatkan pencarum yang layak untuk mengakses kemudahan i-Sinar. Pasti ramai yang sudah tidak sabar-sabar untuk menantikan pengumuman ini!

Bagi Kategori 1, pencarum yang layak merangkumi individu yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, individu yang tidak mencarum dalam tempoh masa yang lama, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Selain itu, individu yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama 2 bulan berturut-turut ketika permohonan, atau yang masih bekerja tetapi telah diberikan potongan gaji pokok sebanyak 30% dan ke atas selepas 1 Mac 2020 juga termasuk dalam kategori 1.

Di samping itu, ianya tidak memerlukan dokumen sokongan dan kelulusan diberikan adalah secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP. Namun begitu, mereka yang terlibat perlu membuat permohonan melalui isinar.kwsp.gov.my bermula 21 Disember 2020. Manakala pembayaran bagi individu yang berkelayakan akan bermula dari pertengahan Januari 2021.

Seterusnya, Kategori 2 melibatkan individu yang masih bekerja tetapi pendapatan keseluruhannya telah terjejas sebanyak 30% dan ke atas merangkumi pemotongan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas 1 Mac 2020.

Sementara itu, pencarum perlu mengemukakan dokumen sokongan bagi proses pengesahan, seperti slip gaji sebelum dan selepas pemotogan pendapatan dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun atau tuntutan kerja lebih masa. Namun, jika tiada sebarang dokumen yang dikemukakan, sokongan lain merangkumi penyata bank atau surat pengesahan majikan akan dipertimbangkan.

Tambahan daripada itu, permohonan bagi kategori ini boleh dilakukan melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021.

Bukan itu sahaja! Status permohonan akan dimaklumkan kepada pencarum dalam tempoh 2 hingga 3 minggu selepas permohonan dibuat. Manakala pembayaran akan dibuat sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberikan.

Hakikatnya, jumlah kelayakan i-Sinar adalah bergantung kepada baki simpanan Akaun 1 pencarum berdasarkan data terkini. Sebagai contoh, seorang pencarum yang memiliki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1, mereka hanya boleh mengeluarkan sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Pembayaran secara berperingkat akan dilaksanakan dalam tempoh maksimum 6 bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum sebanyak RM5,000.

Manakala seorang pencarum yang memiliki baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun 1, mereka boleh mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak 10% atau RM60,000 iaitu jumlah yang lebih rendah daripada Akaun 1.

Pembayarannya juga akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh maksimum 6 bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Akhir sekali, pencarum digalakkan untuk membuat pendaftaran i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk proses penerimaan Transaction Authorisation Code (TAC) di kios atau kaunter KWSP, dan memastikan nombor akaun bank mereka adalah aktif bagi memastikan proses permohonan berjalan lancar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat