Sijil Vaksinasi Digital Malaysia & Singapura Guna Teknologi Blockchain

881

Sijil vaksinasi digital Malaysia dan Singapura dilindungi teknologi keselamatan blok rantai (blockchain) selain dilengkapi ciri mengesan kelompok botol vaksin yang tepat untuk kegunaan inokulasi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata demikian menerusi laman Facebooknya mengenai perkara dibincangkan dalam pertemuan dengan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan di Putrajaya semalam.

“Saling boleh kendali antara sistem pensijilan digital yang digunakan kedua-dua negara sangat penting terutama bagi memastikan piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan negara-negara lain,” ujarnya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Kedua-dua menteri juga membincangkan mengenai rancangan imunisasi kebangsaan masing-masing dan pertukaran amalan terbaik serta pengiktirafan dan perakuan sijil vaksinasi bagi tujuan pembukaan sempadan.

Malaysia dan Singapura juga komited untuk meneruskan kerjasama erat bagi tujuan pemulihan pasca-pandemik.

Dr. Balakrishnan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula semalam.

Semalam, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bertemu rakan sejawatannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dr. Balakrishnan juga dijadual bertemu Menteri Kanan – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat