Sikit Lagi! Emas Hampiri Paras Tertinggi Sepanjang Masa

2,019

Harga emas melonjak menghampiri paras tertinggi sepanjang masa (all time high, ATH) ketika ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang berpunca daripada perang Rusia-Ukraine terus meningkatkan permintaan terhadap aset safe-haven itu.

Terbaharu, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan sekatan ke atas import minyak Rusia dan ini dilihat akan mengancam rantaian bekalan dan meningkatkan tekanan inflasi selanjutnya terhadap ekonomi di seluruh dunia.

Pengumuman ini turut disertai oleh UK yang mengatakan mereka akan menghentikan import produk minyak Rusia menjelang akhir tahun ini.

Ini sekali gus mendorong emas sebagai lindung nilai inflasi untuk meroket tinggi ke $2,070 per auns pada sesi New York, tidak jauh dari paras ATH yang dicapainya pada Ogos 2020, $2075 per auns.

Emas bagaimanapun kembali mengurangkan beberapa keuntungannya untuk didagangkan pada sekitar harga $2,045 per auns ketika sesi dagangan Asia hari ini.

Kebimbangan terhadap gangguan rantaian bekalan global turut meningkat selepas Presiden Rusia Vladimir Putin juga memutuskan untuk melarang eksport produk dan bahan mentah keluar dari negara itu sehingga 31 Disember.

Menjadi tumpuan pelabur seterusnya adalah penerbitan data inflasi AS pada hari Khamis yang dijangka akan terus menunjukkan peningkatan pada bulan Februari.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat