Sime Darby Ada Bukti Tak Guna Buruh Paksa!

317

Sime Darby Plantation Bhd (SDP) menegaskan tidak timbul isu sistemik dalam operasi berdasarkan penilaian dalaman syarikat itu yang dijalankan baru-baru ini di seluruh operasinya di Malaysia, sekali gus menepis dakwaan penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluarannya.

Dalam kenyataan oleh SDP yang dikeluarkan hari ini, syarikat itu menegaskan akan kekal komited untuk menyelesaikan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP).

“Dapatan kami tidak menemukan sebarang isu sistemik dalam operasi kami.

“Kami akan turut melibatkan pentaksir bebas untuk memastikan kami berusaha sedaya upaya mendapatkan persekitaran yang selamat dan membela pekerja tanpa mengira jantina atau warganegara,” kata kenyataan itu seperti dilaporkan oleh Bernama.

Sementara itu, SDP mengekalkan komitmennya dengan semua pelanggan untuk memastikan mereka sentiasa diberikan perkembangan terkini dan menilai semua perkembangan.

Syarikat itu berkata demikian sebagai maklum balas kepada laporan berita baru-baru ini bertajuk ‘Buyers shun major Malaysian palm oil producers after forced labour allegations’ yang menyatakan bahawa pembeli utama minyak sawit cuba menghalang FGV Holdings Bhd dan SDP daripada rantaian bekalan global mereka selepas Amerika Syarikat (AS) melarang import daripada kedua-dua pengeluar tempatan itu.

Ujar SDP, para pelanggan utamanya telah menyatakan sokongan dan bekerjasama rapat agar lebih memahami dakwaan yang dibuat terhadap kumpulan perladangan itu.

“Kebanyakan pelanggan kami memberi komitmen untuk mendapatkan sumber lestari, sekali gus menghargai dan memahami usaha kami untuk memastikan operasi dapat dikendalikan dengan baik, mampan dan bertanggungjawab,” jelasnya.

Untuk rekod, CBP telah mengumumkan bahawa berkuat kuasa pada 30 Disember lepas, minyak sawit dan produk berasaskannya keluaran SDP dan anak-anak syarikat, usaha sama dan entiti sekutu di Malaysia, akan disekat daripada memasuki negara itu.

CBP memberi alasan Arahan Sekatan Pelepasan itu dikeluarkan susulan terdapat ‘maklumat munasabah’ mengenai petunjuk buruh paksa dalam proses pengeluaran SDP.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat