Sinar Harapan, Ekonomi Malaysia Berpeluang Tumbuh 6% Tahun Ini

187

‘Kalau tepat ramalan itu, ekonomi Malaysia bakal pulih lebih cepat berbanding rakan serantau.’

Ekonomi Malaysia berpeluang untuk mencapai pertumbuhan sebanyak 6% pada tahun ini berdasarkan prestasi perdagangan dan perbelanjaan domestik yang kukuh.

Asas tersebut dibentangkan MIDF Amanah Investment Bank dalam nota penyelidikannya dengan mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada 6% tahun ini.

Ia merupakan penetapan 2 kali ganda daripada catatan 3.1% yang dicapai tahun lalu.

Huraian nota tersebut mengatakan lagi bahawa momentum memberangsangkan dalam ekonomi domestik akan berterusan sehingga separuh ke-2 2022 (2H2022).

Bagi menyokong asas tersebut MIDF memetik indeks terkemuka (LI) melantun semula dalam pertumbuhan positif semasa Mei pada 2.2% tahun ke tahun selepas 3 bulan menguncup, disokong oleh aktiviti import.

Tambahnya, aktiviti ekonomi semasa juga dilihat meningkat dengan indeks pembetulan (CI) mencanak pada 6.4% tahun ke tahun iaitu pengembangan tertinggi 12 bulan dan disokong perniagaan perdagangan runcit yang kukuh.

Selain itu, negara juga mencatat prestasi perdagangan luar yang kukuh pada Jun dengan pertumbuhan eksport melonjak 38.6% tahun ke tahun dan eksport domestik kukuh pada 30.5%.

Lonjakan tersebut disokong oleh peningkatan permintaan luar bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), petroleum, minyak sawit dan gas asli cecair (LNG).

Berhujah mengenai perbelanjaan domestik pula, pemulihan berterusan pasaran pekerjaan selain peningkatan mobiliti serta ketibaan pelancong membuka peluang kepada pertumbuhan negara.

Ijmalnya, tekanan harga di Malaysia kekal stabil hasil daripada harga runcit bahan api yang dihadkan dan MIDF unjurkan sektor pengguna serta perkhidmatan swasta menjadi penyumbang utama pertumbuhan suku ke-2 (Q2) dan 2H2022.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat