Sri Lanka Isytihar Darurat Selepas Presiden Larikan Diri

550

Perdana Menteri Sri Lanka dan Presiden sementara Ranil Wickremesinghe mengisytiharkan darurat di seluruh negara selepas ketua negaranaya, Gotabaya Rajapaksa melarikan diri di tengah-tengah protes yang berterusan di pulau itu.

Jurucakap Wickremesinghe pada Rabu memberitahu bahawa memandangkan presiden berada di luar negara, darurat telah diisytiharkan untuk menangani keadaan tersebut.

Presiden Gotabaya Rajapaksa sepatutnya meletakkan jawatannya pada hari ini, namun pada awal pagi tadi beliau dilaporkan telah melarikan diri ke luar negara bersama isteri dan dua pengawal peribadinya menaiki pesawat Tentera Udara Sri Lanka.

Difahamkan mereka telah tiba di ibu negara, Maldives pada jam 6 pagi waktu Malaysia menurut laporan BBC.

Berdasarkan perlembagaan Sri Lanka, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe harus mengambil alih kuasa kerana beliau dianggap sebagai timbalan presiden di parlimen.

Bagaimanapun, Gotabaya Rajapaksa tetap perlu mengemukakan surat peletakan jawatan kepada speaker parlimen untuk mencetuskan pilihan raya  bagi membolehkan pentadbir baharu menggantikannya.

Protes di Sri Lanka telah tercetus pada Mac 2022 di tengah-tengah krisis ekonomi dan politik yang dihadapi negara sejak 2019.

Inflasi yang melambung tinggi menyebabkan barangan keperluan termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan api mengalami kekurangan bekalan sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat yang menyalahkan keluarga Rajapaksa dan kerajaan atas situasi itu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat