Sterling Masih Bertahan, CAD Pula Terkesan Dengan Kenyataan Oleh Donald Trump

404

Matawang Pound Sterling pada dagangan Isnin berjaya mengukuhkan nilainya berikutan jangkaan pasaran bahawa Brexit bakal dilanjutkan jika Perdana Menteri Britain, Theresa May gagal mendapat sokongan di Parlimen untuk undian terhadap pelan perjanjian beliau.

Sterling dilaporkan melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh empat minggu dagangan berbanding dolar USD selepas PM May dilaporkan akan melanjutkan tarikh Brexit 29 Mac.

PM may dijangka akan membenarkan ahli kabinet untuk berbincang dahulu untuk melanjutkan tarikh akhir Brexit dalam mesyuarat pada Selasa.

Sementara itu, perkembangan positif daripada perkembangan rundingan dagang terus menyokong sentimen pasaran semasa. Dengan itu, matawang berstatus safe-haven terus mengalami penurunan nilai dagangan terutamanya dolar USD dan Yen.

Yen terus didagangkan ke paras rendah berbanding USD berikutan sentimen pasaran yang dipacu oleh perkembangan rundingan dagang yang menjadi tumpuan pelabur. Pelabur yang melihat sentimen pasaran risk-on akan tertarik untuk memilih aset yang lebih berisiko dan memberikan pulangan yang tinggi.

Ini akan membuatkan dagangan matawang safe-haven Yen terutamanya terus bergerak lemah dalam pasaran semasa.

USD pula berjaya membuat kenaikan 0.3% berbanding Yen pada Isnin selepas Presiden Donald Trump menyatakan bahawa beliau akan melanjutkan kenaikan tarif terhadap barangan China pada 1 Mac dan bercadang untuk mengadakan mesyuarat sidang kemuncak bersama Presiden China, Xi Jinping di Florida nanti untuk mencapai kesepakatan dalam rundingan dagangan.

Pelabur turut mengintai isyarat terbaru berhubung pandangan bank pusat Federal Reserve terhadap ekonomi dan dasar monetari di Amerika Syarikat. Pengerusi FED, Jerome Powell bersama para penggubal undang-undang telah memberikan petunjuk sebelum ini bahawa mereka masih boleh bersabar untuk tindakan kenaikan kadar berikutan faktor pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Perkembangan pada matawang komoditi pula, dolar AUD dan dolar NZD berjaya mengambil peluang untuk mengukuh dalam keadaan pasaran yang masih stabil. Permintaan terhadap matawang berpulangan tinggi terus meningkat selepas tumpuan pelabur beralih ke arah aset yang lebih berisiko.

Namun, sebaliknya yang berlaku pada matawang dolar Kanada. CAD gagal memanfaatkan peluang untuk mengukuhkan nilai matawangnya selepas terkesan dengan kejatuhan harga minyak mentah. Minyak mentah jatuh 3% selepas kenyataan Trump dalam akaun media sosialnya yang mengeluh harga minyak terlalu tinggi dan meminta OPEC supaya lebih bertenang dalam mengawal pengeluaran minyak.

Walaupun tiada amaran yang khusus, pelabur mula gelisah ekoran Presiden Trump sudah lama tidak menyentuh berkenaan isu minyak mentah sejak Disember dan kenyataan tersebut sedikit menimbulkan kegoyahan pasaran dan memberi kesan terhadap dagangan Loonie.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat