Sterling Terus Mengukuh, ECB Pula Kusut Berdepan Risiko Kegawatan

1,132

Perkembangan susulan daripada isu Brexit masih menjadi tumpuan pasaran buat dagangan masa terdekat ini. Matawang Sterling terus didagangkan mengukuh pada Khamis dan mencapai paras tertinggi dua bulan berbanding EURO berikutan keyakinan pelabur terhadap jangkaan bahawa Britain berupaya untuk mengelakkan diri daripada pilihan untuk berundur dari Kesatuan Eropah (EU) tanpa sebarang perjanjian.

Sebelum ini, Perdana Menteri Britain Theresa May yang telah menanggung kekalahan pada undian akhir Brexit peringkat Parlimen dengan perbezaan majoriti tidak bersetuju terhadap pelan perjanjian Brexit beliau, kemudiannya memenangi undian-keyakinan (vote of confidence) seterusnya telah mengurangkan kebimbangan terhadap ketidaktentuan politik di Britain buat masa ini. Ketua Parti Buruh, Jeremy Corbyn dalam kenyataan tegasnya berharap referendum Brexit kedua akan diadakan jika cadangan untuk meninggalkan EU diabaikan oleh kerajaan. Pasaran akan menantikan senario Brexit selepas ini dengan pilihan sama ada pengunduran Britain dengan persetujuan yang diperoleh bersama, lanjutan Artikel 50 yang akan menangguhkan tarikh rasmi pengunduran dari EU atau mengadakan pungutan suara yang baru. Tumpuan di Britain pada hari ini akan terarah kepada data jualan runcit yang akan dikeluarkan pada jam 5.30 petang ini dan akan memberi petunjuk terhadap perbelanjaan pengguna.

Beralih kepada perkembangan matawang utama dunia iaitu dollar USD, dagangan greenback dilihat menunjukkan pergerakan agak mendatar pada Khamis selepas laporan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Steven Mnuchin telah mempertimbangkan untuk mengurangkan tarif yang dikenakan terhadap barangan import China. Perbincangan berkisar tentang kenaikan sebahagian atau keseluruhan tarif barangan China dan beliau memberi cadangan untuk menawarkan pengembalian tarif pada rundingan yang dijadualkan pada 30 Januari nanti.

Perkembangan pada zon Eropah, European Central Bank (ECB) dijangka akan menangguhkan sementara kenaikan pada kadar faedah dalam jangka masa terdekat berikutan berdepan risiko kegawatan ekonomi. Sebelum ini, pasaran menjangkakan ECB yang telah menamatkan program pembelian aset pada Disember lalu bakal menaikkan kadar faedah pada suku ketiga tahun 2019 namun kini berdepan halangan pada keadaan ekonomi semasa. Tambahan, bank pusat turut menurunkan unjuran pertumbuhan di Jerman, Perancis dan Itali yang melihatkan pertumbuhan ekonomi sedang bergerak pada kadar yang perlahan. Dengan itu, pelabur masih melihat dagangan EURO dalam jangka masa terdekat adalah berisiko.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat