Tanpa Berpaling Lagi! Harga Emas Hitam Teruskan Kenaikan

174

Dagangan komoditi hitam meneruskan peningkatan lebih tinggi pada Rabu setelah disokong oleh data bekalan minyak mentah Amerika Syarikat yang memberangsangkan ketika pasaran dibelenggu oleh ketidakpastian mengenai keputusan pilihan raya presiden.

Data yang diterbitkan Institut Petroleum Amerika (API) menunjukkan inventori minyak mentah AS jatuh sebanyak 8 juta tong pada minggu lepas, melebihi jangkaan untuk kenaikan 890,000 tong.

Angka yang memberangsangkan ini sedikit sebanyak memberi ruang untuk pasaran minyak mentah bernafas setelah ditekan oleh kebimbangan terhadap prospek permintaan global yang semakin suram disebabkan perlaksanaan langkah sekatan baru di Eropah dan beberapa negara lain.

Selain itu, turut menyokong harga emas hitam hari ini adalah anggota OPEC, iaitu Algeria yang menyatakan sokongannya untuk menangguhkan rancangan pelonggaran dalam pemotongan pengeluaran minyak mentah.

Malah, terdapat sumber yang mengatakan OPEC dan Rusia sedang mempertimbangkan pengurangan pengeluaran lebih besar tahun depan untuk menyokong harga.

Penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan meningkat 2.1% pada $40.57 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula menokok 2.4% pada $38.58 setong.

Tumpuan utama pasaran kini tertumpu kepada perkembangan mengenai hasil keputusan pilihan raya yang menyaksikan Donald Trump memenangi sebahagian besar wilayah selatan dan Midwest, sementara Joe Biden pula dilihat menguasai sebahagian besar negeri timur laut setakat ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat